MOTAC selesai kunjungi syarikat pengendali umrah kontroversi

Iklan
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (tengah) dalam sidang akhbar pada Simposium ASEAN-UK mengenai Pembangunan Rangka Kerja Kelestarian Ekonomi Kreatif ASEAN di sebuah hotel di sini pada Khamis. Foto SINAR HARIAN MOHD HALIM ABDUL WAHID.

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menghantar pegawainya mengunjungi syarikat pengendali umrah kontroversi yang didakwa gagal menerbangkan jemaah baru-baru ini bagi melengkapkan siasatan.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, ketika ini pihaknya masih meneliti semua laporan membabitkan syarikat berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kita juga sedang meneliti laporan yang kita terima. Kita kena tentukan semua aspek-aspek perundangan kita dapat capai sebelum mengambil langkah seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyenpurnakan perasmian ASEAN-UK Symposium On The Development Of Asean Creative Economy Sustainability Framework, di sini, pada Khamis.

Iklan

Ahad lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata, sebanyak 141 laporan polis membabitkan nilai kerugian RM3.01 juta diterima melibatkan sebuah syarikat pengendali umrah kontroversi yang didakwa gagal menerbangkan jemaah, Januari lalu.

Terdahulu pada Januari lalu, kecoh di media sosial apabila kira-kira lebih 300 jemaah umrah terkandas apabila mereka dijanjikan untuk diterbangkan ke Tanah Suci, namun ditunda syarikat pengendali umrah.

Iklan

Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata, MOTAC juga akan mengambil tindakan ke atas syarikat terbabit.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan bentuk tindakan diambil, sebaiknya meminta agar menunggu kenyataan rasmi yang dikeluarkan nanti.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pasangan berusia 31 tahun yang merupakan pemilik dan pengarah urusan syarikat pengendali umrah ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kira-kira jam 7 petang di Kuala Lumpur, Januari lalu.

Berikutan itu, Pengarah Urusan syarikat umrah terbabit kemudiannya membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan insiden itu dan menawarkan tiga penyelesaian termasuk pemulangan 100 peratus pengembalian wang jemaah.