PETALING JAYA - Hakim Mahkamah Petaling Jaya, saksi serta pihak-pihak terbabit dalam perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang didakwa mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin melawat kawasan persekitaran Apartment Idaman, Damansara Damai.
Hakim Dr Syahliza Warnoh yang diiringi polis dilihat memasuki pekarangan apartmen tersebut pada jam 10 pagi.
Turut kelihatan pihak pendakwaan dan pembelaan bagi kes berkenaan.
Difahamkan Zaim Ikhwan dan Ismanira serta saksi pendakwaan berkaitan sudah tiba di lokasi berkenaan lebih awal.
Pengamal media bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke kawasan Blok R dan hanya boleh merakam gambar serta merekod video di kawasan sekitar yang tidak berdekatan dengan lokasi kejadian.
Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz mengemukakan permohonan lisan untuk melawat kawasan itu yang dikaitkan dengan siasatan kes 'Orang Hilang' berikutan laporan polis yang dibuat Ismanira.
Katanya, lawatan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum Mahkamah Sesyen di sini meneruskan sesi pemeriksaan utama terhadap dua pegawai polis pada perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan dan Ismanira.
Pihak pendakwaan berpendapat, keterangan lanjut saksi pendakwaan keempat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin dan saksi pendakwaan kelima, Asisten Superintendan Nor Zaharuddin Sanip hanya boleh dikemukakan selepas lawatan dilakukan.
Sehubungan itu, Syahliza menangguhkan sesi pemeriksaan utama terhadap kedua-duanya sementara menunggu lawatan dilakukan yang turut membabitkan penyediaan lojistik dan keselamatan.