KUANTAN - Seorang warga emas bersyukur apabila menerima RM1,561 dividen Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan Sawit Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Ladang Bukit Gayong, Pertubuhan Peladang Peserta Negeri Pahang (Pasfa), pada Rabu.
Peserta e-Kasih, Zaharah Mohamed, 66, berkata, dividen itu sangat bermakna kerana dapat meringankan beban kehidupan sehariannya.
"Gembiralah dan seronok dapat. Setiap tahun terima, tetapi jumlahnya berubah-ubah,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan tersebut di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Rabu.
Zaharah antara 500 peserta e-kasih yang menerima dividen itu yang disampaikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, Zalina Jaafar, 52, berkata, dividen yang diterima sangat membantu dalam menguruskan perbelanjaan harian, selain menampung keperluan anak-anaknya yang masih belajar, sekali gus meringankan beban kewangan keluarga.
"Alhamdulillah, bantuan ini sangat membantu kehidupan seharian saya.
"Dengan adanya wang ini, saya dapat menyokong pendidikan anak-anak serta menampung perbelanjaan lain,” katanya.
Dia turut menggunakan sebahagian daripada sumbangan tersebut sebagai modal bagi memulakan perniagaan kecil-kecilan di rumah, seperti menghasilkan kraftangan.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, pembayaran dividen ini menunjukkan kejayaan program pembangunan luar bandar dalam membantu rakyat.
"Syabas dan tahniah kepada Pasfa kerana berjaya membayar dividen kepada 500 peserta, di mana setiap peserta menerima RM1,561, menjadikan jumlah keseluruhan bayaran dividen sebanyak RM780,518," katanya.
Beliau menambah, kejayaan ini membuktikan program pembangunan ekonomi luar bandar yang dirancang dengan baik mampu memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
"Sudah pastinya pembayaran dividen ini menjadi lebih bermakna kerana kita bakal menyambut kedatangan bulan Ramadan, diikuti perayaan Aidilfitri tidak lama lagi," ujarnya.