1,096 hari Perang Rusia-Ukraine

Iklan
Tentera Ukraine melancarkan MRLS BM-21 'Grad' ke atas kedudukan pasukan musuh.

KIEV - Perang Rusia-Ukraine memasuki tahun keempat setelah Moscow melancarkan kempen pencerobohan pada 24 Februari 2022 menyaksikan pertempuran semakin sengit antara kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu dan tiada tanda ia akan reda dalam masa terdekat.

Pada akhir minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang cuba menjadi perantara proses damai memaklumkan beliau akan bertemu rakan sejawatannya di Moscow, Vladimir Putin dalam masa terdekat bagi membincangkan usaha menamatkan konflik tersebut.

Iklan
Iklan

Dari kiri: Donald Trump, Volodymyr Zelenskyy dan Vladimir Putin.

Pengumuman itu bagaimanapun mengundang rasa tidak puas hati Kiev dan Eropah yang bimbang jika mereka akan diketepikan daripada rundingan tersebut.

Iklan

Sebelum ini, Trump pernah berjanji kononnya mahu menjadi perantara proses damai antara Ukraine-Rusia dalam tempoh 24 jam selepas beliau kembali ke Rumah Putih, namun beberapa pengkritik melihat ia hanyalah satu 'ilusi'.

Bekas banduan yang berkhidmat di bawah batalion raifal khas Alkatraz menyertai latihan di barisan hadapan di Donetsk.

Iklan

Sepanjang tempoh lebih tiga tahun, Ukraine dikatakan telah berjaya merampas semula kawasan barat wilayah Rusia seluas ratusan kilometer (km) persegi sejak ia melancarkan serangan balas mengejut di Kursk pada Ogos 2024.

Anggota bomba cuba mengawal kebakaran di bandar Kramatorsk setelah ia dibedil.

Pada fasa awal kemaraan itu, Kiev menguasai sehingga 1,400km persegi wilayah milik musuh mereka, namun serangan balas Moscow menyebabkan Ukraine kehilangan kira-kira dua pertiga kawasan dan hanya mengawal 500km persegi pada masa ini.

Ratusan orang awam Rusia dikatakan masih tinggal di lokasi berhampiran zon tempur ketika Kiev-Moscow saling berbalas serangan.

AS bersama sekutunya Korea Selatan juga mendakwa Pyongyang telah menghantar lebih 10,000 anggota tentera untuk membantu Rusia di Kursk setelah peperangan itu berlarutan selama lebih tiga tahun.

Tetapi, perkara itu tidak pernah disahkan Korea Utara.

Struktur yang musnah dalam serangan misil di Kiev pada minggu lalu.

Sejak 24 Februari 2024, Rusia telah mara sehingga 4,360km di wilayah Ukraine dan kemajuan itu adalah hampir 22 kali ganda lebih 'memberangsangkan' berbanding tahun kedua (2023) apabila ia hanya berjaya menguasai kawasan seluas 200km persegi.

Hampir tiga perempat wilayah diambil Moscow adalah di wilayah timur Donetsk di mana tentera Rusia menguasai bandar perlombongan utama, Toretsk pada awal bulan lalu.

Bangunan di Kostyantynivka berhampiran unit barisan hadapan di Donetsk yang menjadi sasaran bedilan.

Sepanjang tiga tahun konflik itu, Kiev turut menerima bantuan berbilion dolar daripada sekutunya termasuk AS yang meluluskan bantuan ketenteraan berjumlah AS$61 bilion (RM279 bilion) setelah diluluskan bekas Presiden Joe Biden pada April 2024. - Agensi