Bahan kimia tumpah atas jalan raya

Iklan
Anggota Hazmat memakai PPE lengkap sepanjang operasi mengalihkan tong kimia yang terbalik akibat kemalangan. Foto JBPM

KULIM - Satu kejadian tumpahan bahan kimia dilaporkan berlaku di Kampung Paya Union, Padang Serai di sini kira-kira jam 2.15 petang Selasa.

Bagaimanapun, insiden itu tidak menjejaskan orang awam atau melibatkan sebarang mangsa.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, lori yang membawa muatan kimia berkenaan terlibat kemalangan sehingga menyebabkan beberapa tong terbalik.

Menurutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan pada jam 2.15 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

Iklan
Kemalangan membabitkan lori membawa muatan tong bahan kimia di Padang Serai menyebabkan berlaku tumpahan. Foto JBPM

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan talian MERS 999 memaklumkan terdapat tumpahan bahan kimia dan mengarahkan jentera FRT dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Kulim Hi Tech ke lokasi kejadian.

"Komander Operasi lapor setiba di lokasi mendapati, sebuah lori membawa beberapa tong berisi muatan kimia kemalangan dan bahan kimia dari dua buah tong berkapasiti 2,000 liter dan empat tong berkapasiti 800 liter telah terbalik menyebabkannya tumpah," katanya.

Iklan

Menurutnya, tindakan awal mengarahkan anggota memakai pakaian pelindung diri PPE lengkap untuk mengesan kualiti udara dan bahan kimia tumpah dengan menggunakan alatan pengesan kebocoran kimia serta alatan khas mengesan tahap pencemaran udara.

Seterusnya, sisa bahan kimia yang tumpah di bahu jalan dikawal bagi mengelakkan ia merebak ke kawasan lain.

"Anggota Hazmat mengalihkan 12 tong dengan jumlah keseluruhan 2,400 liter yang tidak tumpah ke tempat selamat menggunakan jentera pengangkat manakala tong yang mengandungi bahan kimia yang telah tumpah dialihkan menggunakan kren," katanya.

Pengawasan turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar sehingga operasi selesai.