Pecat, dakwa segera anggota polis jika terbukti lakukan rasuah

Iklan
Kerajaan disaran lakukan lima langkah strategik membanteras gejala rasuah. Gambar kecil: Hasbullah

SHAH ALAM - Kerajaan disaran melakukan lima langkah strategik membanteras gejala rasuah termasuk mengkaji tindakan tegas seperti pemecatan dan pendakwaan segera bagi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbukti bersalah melakukan aktiviti tersebut.

Ahli Jawatankuasa Penglibatan Strategik Pusat Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Dr Hasbullah Ashari berkata, ia berikutan anggota polis merupakan antara badan penguatkuasaan yang penting dari segi memastikan keberkesanan pelaksanaan peraturan dan undang-undang di negara ini.

Iklan
Iklan

"Jika di peringkat penguatkuasaan sendiri mempunyai kesangsian dalam kredibiliti, ia akan memberi kesan yang besar sehingga menggugat kepercayaan rakyat dan mengancam kesejahteraan negara.

"Selain itu, sebuah platform aduan yang mudah diakses oleh orang awam bagi melaporkan sebarang kes salah laku dan jaminan perlindungan kepada pemberi maklumat perlu disediakan.

Iklan

"Usaha itu membantu individu yang berhadapan dengan situasi rasuah untuk tampil melaporkan perkara berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad pada Isnin berkata, hanya 86 aduan rasuah membabitkan anggota dan pegawai polis diterima Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, tahun lalu.

Iklan

Ujar beliau, jumlah itu bersamaan dengan 1.28 peratus daripada keseluruhan 6,696 aduan dan maklumat berkaitan warga PDRM.

Menurut Hasbullah, pelaksanaan automasi sistem perkhidmatan, contohnya pembayaran saman dalam talian dan penggunaan kamera badan oleh anggota polis juga dapat membantu meningkatkan akauntabiliti serta mengurangkan peluang untuk berlakunya sebarang salah laku.

Tambahnya, kerajaan juga boleh mempertimbangkan penawaran gaji lebih kompetitif dan kenaikan insentif sebagai langkah mengurangkan potensi mereka untuk menerima rasuah.

"Namun begitu, kenaikan berkenaan perlu seiring dengan menjalankan program pembangunan kerjaya bagi membantu pegawai dan anggota polis dalam meningkatkan kredibiliti, prestasi serta etika kerja mereka.

"Di samping itu, kempen pendidikan dan kesedaran integriti perlu dijalankan bukan sekadar dalam anggota penjawat awam polis sahaja malah perlu diperluaskan di kalangan masyarakat,” ujarnya.

Ulas beliau, meskipun jumlah aduan rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM hanya 86 kes daripada 6,696 aduan keseluruhan pada tahun 2024, ia tetap memberi impak negatif terhadap imej PDRM dan keyakinan masyarakat.

"Angka 1.28 peratus mungkin dilihat kecil tetapi adalah menjadi satu kemestian untuk memastikan PDRM mencapai sifar rasuah.

"Keperluan ini adalah penting untuk menjamin kepercayaan rakyat terhadap ketelusan institusi penguatkuasaan undang-undang seterusnya menjamin keharmonian dan kesejahteraan sosial negara,” katanya.