SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan berjaya merampas sampah elektronik (e-waste) bernilai RM721 juta menerusi serbuan di empat negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada Sabtu.
Menurut Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari, sebanyak 12 serbuan telah dijalankan dengan 47 individu, termasuk tiga wanita, telah ditahan.
"Pecahan serbuan itu melibatkan tujuh serbuan di Selangor, dua di Negeri Sembilan, satu di Melaka dan dua lagi di Johor," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, lima daripada yang ditahan adalah warga tempatan, sementara selebihnya merupakan warga asing dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Kemboja, China dan Singapura.
Katanya, siasatan kes dijalankan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Senjata Api 1960 dan Akta Imigresen 1959/63.
Hakemal menegaskan bahawa pihak polis akan terus melaksanakan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab demi menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam untuk kesejahteraan rakyat.
"Pembuangan e-waste secara tidak terkawal boleh memudaratkan kesihatan manusia dan alam sekitar. Masyarakat diharap dapat menjadi mata dan telinga bagi pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kes ini," ujarnya.