Ketagih undi, ahli politik jadi hero main sentimen agama, kaum – Madius

Iklan
Wilfred Madius Tangau

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perpaduan disaran menjadikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai asas utama dalam usaha membentuk negara bangsa yang bersatu padu, kata Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata, isu perkauman dan agama yang semakin meruncing terutama di Semenanjung Malaysia, sekali gus menjejaskan perpaduan dan kestabilan negara.

Iklan
Iklan

Lebih parah, beliau mendedahkan lebih ramai pemimpin politik di Semenanjung yang berlumba-lumba hendak menjadi juara kaum dengan memainkan sentimen agama dan kaum disebabkan ketagih undi politik.

"Orang-orang politik di semenanjung Malaysia seronok mengangkat isu-isu berbaur agama dan kaum lalu menjadi hero dan juara kaum, tetapi perpaduan dan keharmonian kaum akhirnya dan menggugat pembangunan ekonomi.

Iklan

"Di Sabah kalau ada upacara pengebumian di gereja, adalah menjadi kebiasaan orang Islam hadir sama. Sebab yang hadir itu bukan sahaja sahabat handai tetapi juga saudara mara, malah tidak kurang juga yang merupakan adik-beradik kepada si mati tetapi berlainan agama. Inilah gaya hidup orang Sabah.

"Tetapi di semenanjung, kerana ketagih undi politik, mereka cuba menjadi hero memainkan sentimen agama dan kaum,” katanya ketika berucap dalam sesi perbahasan dalam Persidangan Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Wilfred Madius menegaskan penghayatan rakyat Malaysia terhadap MA63 masih di tahap rendah kerana kandungannya tidak dimasukkan secara menyeluruh dalam buku teks sejarah sekolah.

"Benar, kita ada Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, tetapi sejauh mana ia dihayati?

"Oleh itu, Kementerian Perpaduan wajar memastikan MA63 dimuatkan dalam sistem pendidikan agar generasi muda lebih memahami asas pembentukan Malaysia,” ujar Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu.

Dalam perkembangan sama, beliau memuji inisiatif kerajaan Sarawak yang menubuhkan Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) di bawah Jabatan Premier Sarawak, hasil cetusan mantan Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

"Unit ini berfungsi sebagai jambatan penghubung antara masyarakat Islam dan bukan Islam, sekali gus memperkukuh keharmonian serta persefahaman.

"Saya percaya ini juga yang cuba disampaikan oleh Ahli Parlimen Raub dalam perbahasannya baru-baru ini. Namun, penubuhan kementerian khusus mungkin tidak perlu kerana ia akan membabitkan kos tinggi ketika negara berdepan kadar hutang yang membimbangkan,” katanya.

Tambah Wilfred Madius, model seperti UNIFOR wajar dijadikan penanda aras untuk dipertimbangkan oleh kerajaan dalam usaha memperkukuh perpaduan nasional.