Jiran tidak pernah lihat Zayn Rayyan main di taman

Iklan
Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa atas kes pengabaian terhadap anaknya, Zayn Rayyan.

PETALING JAYA – Jiran kepada Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa bahawa dia tidak pernah melihat kanak-kanak autisme itu bermain di taman permainan berhampiran Pangsapuri Idaman, Damansara Damai.

Saksi pendakwaan ke-16, Rashidah Rajali berkata demikian ketika perbicaraan kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal, membabitkan ibu bapa kanak-kanak tersebut, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30.

Iklan
Iklan

Rashidah, 37, berkata, sepanjang 10 tahun tinggal di Blok R pangsapuri berkenaan, anak-anaknya juga tidak pernah bermain dengan Zayn Rayyan.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, saksi yang juga seorang suri rumah itu berkata, dia tidak mengetahui faktor utama mengapa kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) itu tidak pernah bermain di luar rumah.

Iklan

"Saya ada tiga anak, mereka sering menunggang basikal di koridor dan taman permainan, tetapi saya tidak pernah nampak Zayn Rayyan bermain.

"Biasanya, anak saya akan bermain di luar pada waktu petang,” katanya.

Iklan

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya, jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung Rabu.