306 kontena disahkan e-waste - Kastam

Iklan
Polis baru-baru ini menyerbu sebuah kilang disyaki memproses sisa elektronik (e-waste) secara haram pada operasi bersepadu di sebuah kilang logam yang beroperasi secara di kawasan Kampung Teluk Mengkuang, Klang. Gambar kecil: Anis Rizana
PUTRAJAYA - Sejumlah 336 buah kontena disyaki barangan e-waste telah diperiksa dalam operasi khas e-waste Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Alam Sekitar (JAS) di Pelabuhan Klang, Selangor.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, pemeriksaan dalam operasi khas itu telah dilakukan bermula Ogos 2024 sehingga Disember lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah kontena disyaki e-waste yang diperiksa secara bersama oleh JKDM dan JAS dalam operasi khas itu, sebanyak 306 buah kontena disahkan sebagai barangan e-waste dan ia telah diserahkan kepada JAS.

"JKDM juga telah mengambil langkah-langkah proaktif penguatkuasaan secara berterusan bagi mengekang aktiviti penyeludupan di pintu-pintu utama pelabuhan.

"JKDM ingin menegaskan bahawa pendirian pihak jabatan adalah jelas dan tegas iaitu tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan penyeludupan serta pelanggaran undang-undang yang berkuatkuasa," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sehubungan itu katanya, JKDM akan terus bekerjasama dengan JAS dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) dalam menangani isu penyeludupan e-waste dan skrap ke negara ini.

Menurut Anis, bagi kes-kes yang melibatkan skrap, JKDM akan menjalankan siasatan ke atas mana-mana orang yang melakukan kesalahan dan boleh diambil tindakan mahkamah.

Jelasnya, tindakan mahkamah itu membabitkan isu pengikraran tidak betul atau tidak benar.

Kata beliau, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 133 Akta Kastam 1967.

Sementara itu bagi kes frod katanya, jika sabit kesalahan mahkamah boleh menjatuhkan hukuman di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Menurutnya, orang ramai juga digesa untuk membantu JKDM dalam memerangi jenayah

penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah serta kenderaan.

Tegas beliau, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah

ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti-aktiviti seumpama itu.

"JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

"JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," ujarnya.