Kadar zakat fitrah di Pahang RM7, RM14 dan RM21

Iklan
Ahmad Hairi (tengah) menunjukkan resit zakat fitrah mengikut kadar ditetapkan tahun ini pada sidang akhbar sempena pengumuman kadar zakat fitrah Pahang 2025 di Pejabat Muip pada Selasa.

PEKAN - Kadar zakat fitrah di Pahang ditetapkan RM7, RM14 dan RM21 seorang bagi Ramadan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, kadar itu diperkenankan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan selaras keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kadar minimum yang perlu dibayar umat Islam di negeri ini RM7 iaitu bagi yang menggunakan beras putih tempatan.

"Bagi yang menggunakan beras pulut atau seumpama dan setara, kadarnya RM14 dan RM21 bagi pengguna beras basmati atau seumpama dan setaranya.

Iklan

"Umat Islam di negeri ini boleh menunaikan bayaran zakat fitrah mereka bermula dari awal Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pengumuman kadar zakat fitrah Pahang 2025 di Pejabat Muip di sini pada Selasa.

Iklan

Ahmad Hairi berkata, seramai 917 amil telah ditauliahkan bagi melaksanakan urusan kutipan zakat fitrah tahun ini dan umat Islam di Pahang dinasihatkan membayar zakat fitrah mereka melalui amil yang bertauliah.

"Selain itu, kemudahan pembayaran secara dalam talian melalui pautan ezakat.muip.gov.my dan kod QR Bank Muamalat juga turut disediakan," katanya.

Beliau berkata, mengutip zakat fitrah tanpa tauliah atau kebenaran Muip merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu katanya, sempena Ramadan ini Muip akan mengagihkan bantuan lebih RM21.6 juta kepada 35,400 penerima.

"Daripada jumlah itu, RM5.6 juta akan diagihkan untuk bantuan menyambut Ramadan kepada 12,688 ketua isi rumah (KIR) dalam kalangan asnaf, fakir miskin penerima zakat bulanan.

"Lebih RM4.2 juta disediakan untuk sumbangan pengimarahan Ihya Ramadan kepada 689 masjid dan surau kebenaran Jumaat di negeri ini.

"Sumbangan pengimarahan Ihya Ramadan berjumlah RM297,700 akan diagihkan kepada 157 maahad tahfiz, madrasah dan pondok berdaftar," jelasnya.

Beliau berkata, sumbangan pengimarahan Ihya Ramadan juga akan diagihkan kepada 14 masjid dan surau kebenaran Jumaat bagi Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) di negeri ini dengan jumlah peruntukkan RM 354,000.

"Muip juga akan menyediakan RM159,000 untuk disumbangkan kepada 318 ahli Persatuan Guru-Guru Al-Quran Asrama Negeri Pahang.

"Bagi bantuan tahunan hari raya Aidilfitri pula, lebih RM 9.86 juta akan diagihkan kepada 19,701 KIR dan asnaf fakir miskin dalam kalangan penerima zakat bulanan yang disenaraikan amil," jelas beliau.

Ujarnya lagi, lebih RM1 juta disediakan untuk bantuan tahunan hari raya Aidilfitri kepada 1,833 ketua dan ahli isi rumah golongan saudara baharu di negeri ini.