'Rundingan peruntukan pembangkang tiada hasil, saya terpaksa jadi model' - Syed Saddiq

Iklan
Syed Saddiq

KUALA LUMPUR - Isu peruntukan wakil rakyat pembangkang terus disuarakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang mengakui terpaksa bersetuju untuk menjadi model sebagai usaha mendapatkan dana bagi menampung keperluan rakyat di kawasan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya memberi kata putus dan berhenti berteka-teki mengenai peruntukan tersebut dengan berterus terang mengenai perkara itu kepada umum.

Iklan
Iklan

"Kalau tidak mahu beri peruntukan, cakap sahaja dalam Dewan Rakyat, jangan bermuka-muka di dalam kata lain, di luar kata lain.

"Sebab itu tidak baik, dalam bab ini saya berharap perkara ini perlu ada politik yang matang supaya akhirnya tidak kira dalam kerajaan mahupun pembangkang, nasib rakyat di kawasan kamu akan terbela dan bantuan itu diberikan tidak ikut warna politik.

Iklan

"Bagaimana nak jadi negara maju bila perkara asas sebegini pun tidak boleh selesaikan walhal sudah dijerit berpuluh tahun apabila berada di kerusi pembangkang," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, sebelum ini menzahirkan rasa syukur apabila berjaya mengagihkan sumbangan lebih RM1 juta untuk warga Muar hasil kerjasama dengan sebuah jenama fesyen tempatan terkenal.

Iklan

Manfaat tersebut tidak diberikan melalui wang sebaliknya, sumbangan telah disalurkan dalam bentuk pakaian dan barangan keperluan harian.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq menjelaskan, beliau sudah lima kali mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Fadillah Yusof, namun belum menunjukkan perkembangan positif.

"Surat demi surat telah dihantar. Lebih 400 hari sudah berlalu tapi bantuan daripada kerajaan ke Parlimen Muar kosong ringgit.

"Saya dah cuba (berunding) banyak kali (tapi) tak berjaya...sebab itu saya lari dari Muar ke Parlimen, baru-baru ni jadi model, ada MP (ahli Parlimen) marah saya sebab saya jadi model, (sedangkan) saya terpaksa jadi model...akhirnya, alhamdulillah dapatlah sumbangan lebih RM1 juta bagi Parlimen Muar," katanya.

Tahun lalu, Fadillah ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat memberitahu rundingan peruntukan ahli Parlimen pembangkang secara individu masih lagi terbuka.

Katanya, rundingan secara kumpulan besar iaitu PN sudah tertutup namun mengalu-alukan sekiranya ada individu dari blok pembangkang mahu berunding dengan beliau.

September tahun lalu juga, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Hamzah memberitahu, penolakan draf MoU itu dibuat atas empat sebab fundamental kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan.

Sebelum itu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendedahkan terdapat tujuh syarat didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan yang perlu dipenuhi ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan dituntut