SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dicadang membuka peluang pekerjaan dengan lebih besar kepada pakar teknologi termasuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu mengawal sistemnya dalam usaha membanteras jenayah rasuah.
Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, perkara itu penting agar penggunaan AI dalam membanteras rasuah dapat dikawal dengan lebih cekap dan selamat.
"Ini kerana hanya pihak yang berkemahiran tinggi dan berkeupayaan mengoperasikan sesuatu kebijaksanaan dalam bidang informasi teknologi (IT) sahaja mampu untuk bertindak secara cemerlang menggunakan sistem seperti ini.
"Kita kena faham bahawa penjenayah juga sentiasa mampu mengeksploitasikan sistem, mungkin negara kita masih di peringkat baharu aplikasikan penggunaan AI, jadi sebab itulah kita memerlukan pertolongan golongan cerdik pandai ini untuk kawal,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, SPRM akan beradaptasi dengan teknologi baharu termasuk menggunakan AI bagi memperkukuh usaha membanteras rasuah di negara ini selaras dengan iltizam kerajaan.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, seiring penjenamaan semula SPRM daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ini, banyak perubahan terhadap perundangan dan struktur agensi itu dilakukan yang memberi lebih kebebasan dalam hal penyiasatan namun dalam masa sama cabaran dihadapi juga semakin berat.
Dalam pada itu, Nor Halmey berpendapat, penerapan mekanisme AI dalam sesuatu jabatan merupakan tindakan wajar untuk meningkatkan ketelusan dan mengurangkan risiko penyelewengan.
"Bagi saya dalam usaha membanteras rasuah ni, mekanisme AI perlu dipergunakan sepenuhnya bagi semua jabatan, ia untuk menepis dan menangani penipuan.
"Kenapa? Kerana AI mampu membuat analisis data perolehan dengan cepat atau kenal pasti corak mencurigakan, serta beri amaran awal terhadap kemungkinan rasuah, dengan syarat...mesti ada golongan pakar yang mampu mengawalnya,” ujarnya.
Tambah beliau juga, skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) baru-baru ini menunjukkan bahawa usaha SPRM dan kerajaan dalam membanteras rasuah sedang giat dijalankan.
"Perubahan besar mungkin memerlukan masa tetapi peningkatan tangkapan yang banyak itu menandakan tindakan giat sedang dilakukan.
"Ia sesuatu menggembirakan dan yang memberikan satu kelegaan kepada kita, bahawa apabila berlaku tangkapan juga, bermaksud usaha kerajaan serta SPRM itu memang betul-betul nekad untuk membanteras rasuah.
"Mungkin ada pandangan negatif atau tekanan pada mulanya, tetapi kita semua harus percaya, suatu hari nanti negara kita akan bebas rasuah dan menjadi negara yang boleh dipercayai,” ujarnya.