Pensyarah warga Bangladesh nafi cabul dua pelajar lelaki

Iklan
Tertuduh, M Rezaul Karim (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin.

MELAKA - Pensyarah lelaki warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin, atas tuduhan mencabul kehormatan dua penuntut lelaki, tahun lalu.

Tertuduh, M Rezaul Karim, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Iklan
Iklan

Mengikut dua pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua penuntut lelaki berusia 23 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan dengan cara menyentuh dan mencubit kemaluan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 3.15 pagi dan 2.30 pagi di sebuah bilik hotel di sini, pada 24 dan 25 Oktober tahun lalu.

Iklan

Pendakwaan bagi kes itu dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Norhayati Yusof tidak menawarkan sebarang jaminan tetapi menyerahkan kepada budi bicara mahkamah memandangkan tertuduh seorang warga asing.

Iklan

Bagaimanapun tertuduh diwakili Peguam Faiezad Razali memohon jaminan rendah kerana tertuduh telah berkahwin dan mempunyai tiga anak selain masih merupakan pensyarah kontrak di sebuah universiti awam di Pantai Timur.

Tertuduh juga telah lima tahun tinggal di Malaysia dan memberikan kerjasama yang baik kepada pegawai penyiasat.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin warga tempatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 27 Mac depan untuk serahan dokumen.