SEMENYIH - Bacaan kali pertama pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pendidikan 1996 untuk mewajibkan pendidikan sehingga peringkat sekolah menengah dijangka dibentang pada sesi sidang Dewan Rakyat kali ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagaimanapun berkata, sesi libat urus bersama pemegang taruh masih berjalan untuk memastikan semua pihak menyokong pindaan berkenaan.
"Sekarang KPM dalam sesi libat urus untuk meminda akta tersebut dan ini komitmen kementerian melihat kepada kewajipan dasar pendidikan sekolah menengah.
"Kita berharap (bacaan kali pertama) dapat berada dalam rangkuman sesi Parlimen kali ini, tetapi kalau tidak, maknanya sesi Parlimen yang akan datang," katanya dalam sidang media selepas lawatan hari pertama sesi persekolahan 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi, Semenyih di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal memaklumkan, proses semakan terhadap draf RUU tersebut telah selesai di peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurutnya, inisiatif itu merupakan langkah penting KPM bagi memastikan semua kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.
Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan, program pendidikan di sekolah sudah menepati piawaian Kurikulum Kebangsaan yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, panduan dan pedoman untuk membantu perkembangan murid.
Namun menurutnya, ibu bapa mempunyai pilihan untuk menghantar anak-anak ke kelas tuisyen sekiranya mereka perlukan sokongan pendidikan tambahan.
"Tuisyen pilihan, jadi kalau ibu rasa anak perlukan sokongan dan latihan tambahan, tiada masalah hantar (anak) pergi tuisyen.
"Jadi untuk di sekolah, (kurikulum) sudah cukup tetapi kalau mahukan (pendidikan) tambahan, itu pilihan ibu bapa," ujarnya.