ISU kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol bersubsidi RON95 terus berlaku di negara ini terutama di negeri bersempadan negara jiran.
Terbaharu, orang awam memuat naik video memaparkan seorang wanita memandu kereta dengan plat pendaftaran Singapura mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di Johor Bahru, menggunakan kad kredit untuk membuat pembayaran.
Umum mengetahui, harga runcit petrol RON95 di Malaysia pada kadar RM2.05 seliter adalah sangat rendah berbanding di negara-negara ASEAN.
Harga runcit petrol di Singapura mencecah RM9.16 seliter, sementara Indonesia (RM3.74 seliter) dan Thailand (RM5.63 seliter). Tidak hairanlah rakyat negara jiran suka mengisi minyak di negara ini. Video tular itu bukan sahaja mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, malah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz turut mengarahkan tindakan penguatkuasaan ditingkatkan.
Kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122). Jika didapati bersalah, pengusaha stesen minyak berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Apabila Menteri Besar Johor mengarahkan agar tindakan penguatkuasaan lebih tegas, agaknya apa lagi langkah tambah baik untuk menangani isu ini?
Persatuan Peniaga Petrol Malaysia (PDAM) sebelum ini membangkitkan persoalan, bagaimana warga asing yang mengisi minyak ke kenderaan mereka? Menurut PDAM, hukuman dikenakan berat sebelah kerana pembeli warga asing akan terlepas begitu sahaja.
Malah, sukar bagi pengusaha mengawasi kereta asing yang menggunakan pam petrol yang terletak di hujung stesen dan menggunakan kad kredit untuk mengisi dengan cepat.
Sehubungan itu, mungkin sudah sampai masanya kerajaan perlu mempertimbangkan hukuman ke atas pembeli pula. Selain denda, kenderaan asing terlibat wajar disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini lagi.
Selagi pembeli tidak dihukum, selagi itulah mereka akan sentiasa mencari jalan ‘mencuri’ minyak subsidi kita.