SUNGAI PETANI - Gelagat kanak-kanak hari pertama persekolahan tahun 2025 mencuit hati terutama bagi yang memulakan sesi tabika.
Guru Tabika Perpaduan Taman Arked, Nor Aiza Yahaya, 59, berkata, pelbagai gelagat dilihat pada awal pagi ketika ibu bapa menghantar kanak-kanak mengikuti sesi hari pertama.
Menurutnya,seramai 17 kanak-kanak berusia 4,5 dan 6 tahun yang mula mendaftar masuk tabika berkenaan.
"Bagaimanapun, setakat ini tiga murid meragam disebabkan hari pertama persekolahan, manakala murid lain seperti biasa mampu menyesuaikan diri.
"Ada juga kanak-kanak yang menangis dan ingin pulang. Mahukan ayahnya, sambil berjalan menunggu ke pintu dengan mengusung begnya," katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, mereka mula ceria selepas tiba waktu makan dan berjaya dipujuk guru-guru.
Beliau yang mempunyai pengalaman selama 29 tahun mengajar Tadika Perpaduan memaklumkan, hari pertama pelbagai ragam dapat dilihat.
"Hari pertama dimulakan dengan pengenalan kelas, bilik air dan peraturan yang perlu diikuti.
"Setakat ini, semua baik dan akur namun esok kita lihat pula bagaimana, sebagai guru kita bersedia untuk melayan kerenah anak-anak ini, biasalah hari pertama macam ini," jelasnya.