Pemilihan PKR: Anwar serah kepada parti putuskan pertandingan dua jawatan tertinggi

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA SELANGOR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada parti untuk memutuskan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PKR perlu dipertandingkan atau tidak, pada pemilihan parti Mei depan.

Sebagai Presiden PKR, Anwar berkata, beliau menghormati demokrasi dalam parti dan tidak mahu mencampuri urusan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Biar mereka putuskan. Saya tidak campur. Biar demokrasi (tentukan)... yang bertanding, tak bertanding (biar) parti putuskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pecah tanah Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dilaporkan berkata, PKR berkemungkinan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti akan datang.

Iklan

Cadangan itu katanya berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini.

Mengikut perlembagaan PKR, penggal akan datang adalah yang terakhir untuk Anwar selaku Presiden sekiranya memilih untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Iklan

Pada 26 Januari lepas, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh dilapor berkata parti itu akan mengadakan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat bagi sesi 2025-2028 pada 24 Mei depan. - Bernama