KUANTAN - Seorang pemuda berkongsi pengalaman berjumpa dengan peniaga wanita, Norshamira Zainal, 37, yang disyaki dibunuh selepas mayatnya ditemui di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur pada Khamis lalu.
Lelaki itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Raz, berkongsi klip video mengenai pertemuannya dengan Norshamira yang sedang menjual sambalnya.
Klip video tersebut yang dimuat naik di TikTok pada Jumaat lalu, setakat ini telah meraih 1.2 juta tontonan.
"Video itu dirakam pada 1 Februari tahun lepas kira-kira jam 8 malam. Saya bersama rakan sedang bersantai di Esplanade Kuantan dan dihampiri arwah Norshamira yang mempromosikan sambal dijual.
"Dia menjelaskan produk yang dijual dan saya membeli satu bekas daripadanya. Dia sempat meluahkan bahawa tekaknya sakit dan tidak sabar untuk pulang ke rumah. Norshamira juga kelihatan penat dan memberitahu bahawa dia baru sahaja selesai membantu mencari seorang kanak-kanak yang hilang di lokasi tersebut," katanya.
Raz mengakui terkejut selepas mendengar kejadian yang menimpa Norshamira, dan menyifatkan wanita itu sebagai seorang yang rajin kerana mendapat banyak komen positif daripada pengguna lain.
"Semoga keadilan dapat dicapai untuk mangsa dan keluarganya," ujarnya yang turut meluahkan rasa lega selepas mengetahui bahawa suspek telah berjaya ditangkap pada Sabtu.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita yang juga peniaga makanan ditemui mati disyaki dibunuh di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini pada Khamis.
Mayat mangsa berusia 37 tahun ditemui seorang lelaki sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada pihak polis kira-kira jam 12.45 tengah hari.
Jenazah Norshamira dituntut keluarga kira-kira jam 2.30 petang sebelum dibawa ke Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota untuk dimandikan sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Felda Keratong 9, Rompin untuk dikebumikan.