PTPTN ceriakan 200 pelajar sekolah

Iklan
Norliza (empat dari kanan) beramah mesra dengan penerima bantuan Program Titipan Kasih Back To School di SK Bukit Gelugor, pada Khamis.

GEORGE TOWN - Keceriaan jelas terpancar di wajah 200 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gelugor dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Mohamed Nor Ahmad di sini, selepas terpilih menerima bantuan persekolahan sempena sesi persekolahan baharu yang akan dibuka minggu depan.

Sumbangan diberikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Program Titipan Kasih Back To School yang merupakan tahun kedua pelaksanaannya.

Iklan
Iklan

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN itu diadakan bagi meringankan beban golongan keluarga yang kurang berkemampuan terutamanya miskin bandar dalam menyokong pendidikan anak bangsa dan memberi peluang pendidikan yang lebih baik kepada mereka yang memerlukan.

Beliau berkata, pihaknya percaya pendidikan adalah kunci utama untuk mengubah kehidupan dan kami berusaha memastikan semua pelajar berpeluang untuk menerima pendidikan tanpa mengira latar belakang kewangan.

Iklan

Norliza (tengah) bergambar bersama sebahagian penerima bantuan Program Titipan Kasih Back To School yang diadakan di SK Bukit Gelugor, pada Khamis.

"Melalui program ini juga secara tidak langsung menunjukkan komitmen kami di PTPTN untuk memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua.

Iklan

"Kami percaya bahawa setiap pelajar berhak mendapat peluang yang sama untuk berjaya dan melalui usaha bantuan ini kami berharap dapat meringankan beban keluarga asnaf serta memberi semangat baharu kepada anak-anak untuk memulakan sesi baharu persekolahan dengan penuh keyakinan dan harapan,"katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan di SK Bukit Gelugor pada khamis.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih, Husain Jahit, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Mohamad Said Ibrahim dan Pengurus Besar Kumpulan, Komunikasi Korporat Kumpulan dan Pejabat Pengerusi Media Prima Berhad, Azlan Abdul Aziz.

Melalui program ini pelajar asnaf akan menerima bantuan set pakaian sekolah serta beg sekolah berjumlah RM37,000 sumbangan daripada PTPTN.

Manakala Media Prima Berhad pula turut memberikan sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM20,000 di mana setiap pelajar akan menerima RM100 setiap seorang.

Sementara itu, beberapa ibu bapa yang ditemui menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan kelengkapan sekolah yang diberikan PTPTN.

Bagi Nor Laili Kasim Baba, 50 berkata, bantuan diberikan sangat meringankan beban ibu bapa yang kini sedang berjuang untuk mempersiapkan kelengkapan sekolah anak-anak.

NOR LAILI

Jelasnya, untuk pembukaan sesi persekolahan baharu, beliau perlu menyediakan kira-kira RM500 untuk persiapan dua orang anaknya termasuk yuran sekolah dan pembelian buku.

"Alhamdulillah dengan bantuan yang diterima ini sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga dan membuatkan anak-anak turut bersemangat ke sekolah,"katanya.

Turut berkongsi pandangan sama, Jusoh Din, 45 yang mempunyai empat orang anak yang masih bersekolah.

JUSOH

"Setiap kali sesi baharu persekolahan, saya memperuntukkan lebih RM800 untuk keempat-empat orang anak termasuk pembayaran yuran.

"Terima kasih tidak terhingga buat PTPTN dan diharap program ini diteruskan pada masa akan datang bagi bantu lebih ramai pelajar lain pula," katanya.

Bagi Mohd Fauzi Wa Daud, 42 pula berkata, dengan kenaikkan harga barangan di pasaran pada ketika ini membuatkan banyak golongan ibu bapa berjimat cermat dalam berbelanja.

MOHD FAUZI

Katanya, dengan inisiatif yang diusahakan oleh PTPTN ini jelas memberi kelegaan buat ibu bapa bagi meringankan beban terutamanya bagi golongan B40 dan mempunyai anak ramai.

"Saya ucap terima kasih kepada PTPTN program ini sangat bermakna bagi golongan B40 dan memberi keceriaan kepada anak-anak,"katanya.