GEORGE TOWN - Seorang polis berpangkat sarjan direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan wang berjumlah RM3,000.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Siti Nur Suhaila Baharin di Mahkamah Majistret Jenayah 1 di sini pada Jumaat.
Pegawai polis berusia 38 tahun yang berpakaian lokap itu tiba di pekarangan mahkamah dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 9.05 pagi.
Menurut sumber SPRM, suspek dipercayai meminta wang RM3,000 daripada seorang lelaki yang juga pekerja kilang untuk menyelesaikan kes ujian air kencing pada 19 Ogos 2024.
"Mengikut kronologi kes, seorang lelaki iaitu pengadu yang berusia 35 tahun telah menjalankan ujian air kencing dan positif dadah jenis benzo. Pengadu kemudiannya ditahan satu malam di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL).
"Pengadu kemudiannya dilepaskan dengan jamin polis pada keesokan harinya. Bagaimanapun, pada 11 Januari lalu, pengadu telah berjumpa suspek yang juga pegawai penyiasat kes di IPDTL.
"Ketika itu, suspek meminta wang RM3,000 dengan alasan untuk menyelesaikan kes ujian air kencing pengadu. Pengadu sekali lagi dihubungi suspek pada Rabu lalu dan memintanya datang ke IPDTL untuk membincangkan kes serta wang RM3,000 tersebut," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Tambah sumber, suspek ditahan pada Khamis ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a)Akta SPRM 2009," katanya.