KAJANG - Selepas tiga kali tertangguh, kes memiliki 200 butir peluru dan memperdagangkan enam senjata api membabitkan seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom dijalankan di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang di sini pada Jumaat.
Kes itu juga didengar di hadapan hakim baharu iaitu Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Mohd Zaki Mohd Salleh susulan Hakim, Norina Zainol Abidin berpindah ke mahkamah lain.
Tahap keselamatan turut diperketatkan oleh pihak polis bersama anjing K9, pegawai Unit Tindakan Khas dan Jabatan Penjara Malaysia di setiap pintu masuk penjara.
Seramai sembilan wartawan juga perlu mendaftar terlebih dahulu, sebelum dibenarkan masuk untuk mengikuti prosiding terbabit, namun jurugambar dilarang daripada membuat liputan.
Pada 13 Januari lalu, perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen ditangguhkan, kerana terdapat pertikaian daripada pihak pembelaan berhubung jurubahasa Ibrani atau Hebrew.
Ia merupakan penangguhan kali ketiga, selepas Avitan, 39, memohon supaya khidmat penterjemah disediakan di sepanjang prosiding itu berlangsung.
Sebelum ini mahkamah menetapkan perbicaraan berlangsung selama 12 hari bermula Januari iaitu 6 hingga 9, 13 hingga 16 serta 20 hingga 23.
Bagaimanapun, selepas tertangguh beberapa kali, mahkamah belum menetapkan tarikh baharu untuk perbicaraan kes terbabit.
Dijangka, seramai 30 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan terhadap tertuduh.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki 42 peluru di dalam tiga senjata berlainan, sekotak Shell Shock NAS3 9mm (lapan peluru) dan tiga kotak Bullet Master Co Ltd (150 peluru) tanpa lesen atau permit senjata.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9x19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9x19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.
Dia didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara jam 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac 2024.