Akta 711: Tiada jaminan pemberi maklumat kekal terlindung jika terlibat perlakuan tak wajar

Iklan
Pushpan Murugiah

SHAH ALAM - Perlindungan kepada pemberi maklumat berisiko terbatal tanpa budi bicara jika individu itu sendiri terlibat dalam perlakuan tidak wajar atau pendedahannya mempersoalkan merit dasar kerajaan, menurut Seksyen 11 Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, Pushpan Murugiah berkata, tiada jaminan bahawa seorang pemberi maklumat kekal terlindung walaupun diberikan perlindungan di bawah akta berkenaan meskipun ada antaranya ingin insaf setelah terlibat kes sedemikian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sistem perlindungan pemberi maklumat semasa di bawah Akta 711 hanya berkesan jika seseorang itu mengikut rangka proses di bawah akta secara khusus dan teliti.

"Pemberi maklumat perlu membuat pendedahan kepada agensi penguatkuasaan dan memastikan bahawa segala yang diperkatakan tidak bertentangan dengan undang-undang lain.

Iklan

"Kekangan yang terkandung dalam sistem semasa tidak menggalakkan, malah ia mampu mencegah individu daripada mengemukakan pendedahan kelakuan tak wajar misalnya dakwaan rasuah.

"Sebagai contoh, proviso di bawah Seksyen 6 mengecualikan sebarang pendedahan yang dilarang secara khusus oleh mana-mana undang-undang. Maksudnya sebarang pendedahan yang mengandungi perkara dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 atau Seksyen 203A Kanun Keseksaan tidak dapat dilindungi di bawah akta," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan tidak bercadang meminda Akta 711 bagi membolehkan pemberi maklumat melaporkan kepada pihak media atau masyarakat umum terlebih dahulu sebelum membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said ketika sidang Dewan Rakyat memberitahu, pemberi maklumat perlu membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan terlebih dahulu.

Sementara itu, Pushpan berpandangan, menurut Resolusi 10/8 Sesi Ke-10 Persidangan Pihak-pihak kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Rasuah (UNCAC), konsep 'niat baik' patut ditafsirkan sebagai kepercayaan munasabah individu tersebut bahawa maklumat yang dilaporkan itu benar, tanpa mempertimbangkan sebarang niat peribadi yang lain.

"Jadi, kami menyeru kerajaan agar mempertimbangkan semula perkara ini demi melaksanakan strategi memerangi rasuah yang lebih berkesan dan menyeluruh," ujarnya.