Pemandu treler maut kemalangan empat kenderaan

Iklan
Seorang pemandu treler maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kilometer 53.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat sini pagi tadi. Foto hiasan

ALOR SETAR - Seorang pemandu treler maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kilometer 53.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar menerima panggilan mengenai kemalangan pada 7.25 pagi sebelum mengerakkan pasukan siasatan trafik ke lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, empat kenderaan iaitu treler, bas, van dan lori bergerak menghala ke arah Alor Setar.

"Kemalangan berlaku apabila treler jenis Volvo dipandu lelaki berusia 31 tahun melanggar bahagian belakang sebuah bas yang sedang bergerak dan menyebabkan bas mengelongsor ke hadapan lalu terlanggar van. Van pula terlanggar bahagian belakang sebuah lori," katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Seterusnya beliau berkata, akibat daripada perlanggaran itu, pemandu treler mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian.

"Pemandu van pula mengalami luka ringan di beberapa bahagian badan manakala pemandu bas dan pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata, polis memohon kerjasama orang ramai, terutamanya saksi kejadian untuk tampil memberi keterangan di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Lukmanul Hakim Mohd Fauzi di talian 04-7321222 atau 013-9964614 bagi membantu siasatan. - Bernama