ALOR SETAR - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mengakui terkilan kerana harga lantai padi sebanyak RM1,500 yang diumumkan di Parlimen pada Khamis tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos yang berlaku.
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, susulan itu mereka memohon agar kerajaan menambah Insentif Harga Padi sebanyak RM300 sebagai tambahan kepada harga lantai padi yang telah diumumkan.
Menurutnya, mereka juga menuntut agar kerajaan dapat menurunkan harga kawalan benih padi sah daripada RM58 ketika ini kepada RM35 iaitu harga asal benih padi sebelum ini.
"Alasan harga benih dinaikkan pada waktu tersebut adalah kerana harga belian semasa padi (bukan harga lantai) yang ditawarkan kilang adalah RM1,700.
"Harga belian padi kini kita lihat telah mengalami penurunan sedangkan harga benih tidak berubah sejak dinaikkan pada Mac 2024 lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Tambahnya, tuntutan harga lantai padi RM1,800 sebelum ini oleh PeSAWAH adalah munasabah dan berasas setelah mengambil kira pelbagai aspek.
"Ia telah mengambil kira peningkatan kos sara hidup, kos diesel dan benih yang meningkat. Selain itu, cabaran lain yang dihadapi oleh pesawah dalam usaha memastikan kelangsungan pengeluaran padi negara juga antara faktor yang kita titik beratkan,” ujarnya.
Abdul Rashid berkata, sehubungan itu, PeSAWAH memohon Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk meneliti semula tuntutan mereka dan mengambil langkah-langkah yang lebih konkrit bagi membantu pesawah.
"Kami berharap, pihak kerajaan dapat mendengar dan memahami rintihan kami. Kami adalah tulang belakang pengeluaran makanan negara.
"Jika kami tidak diberikan sokongan yang sewajarnya, bagaimana mungkin kami dapat terus menghasilkan padi untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia?
"Para pemimpin dan rakyat Malaysia perlu faham, subsidi yang bernilai berbilion ringgit itu hanya 20 peratus sahaja yang masuk ke poket petani iaitu dalam bentuk insentif harga padi,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, subsidi-subsidi lain yang disebut oleh Mohamad dalam sesi Parlimen diterima oleh pihak vendor yang membekalkan benih, input pertanian dan servis jentera.
"Pokok kepada isu subsidi ini sebenarnya adalah harga beras yang sudah 17 tahun tak dinilai semula, kerana itulah subsidi bertambah setiap tahun untuk menyerap harga kawalan beras tersebut.
"Subsidi padi bukan ihsan kerajaan tapi kewajipan kerajaan kerana kerajaan mengawal harga beras,”ujarnya.
Dalam sidang Parlimen pada Khamis, Mohamad mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menyelaraskan harga lantai padi kepada RM1,500 satu tan berbanding RM1,300 satu tan sebelum ini, berkuat kuasa Ahad ini.
Katanya, perkara itu diputuskan setelah mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian seperti baja, racun dan lain-lain serta impak kepada kos pengeluaran beras.