JASIN - Seorang ibu bersama empat anaknya rentung selepas kediaman mereka di Kampung Berangan Enam, Umbai, di sini musnah dalam kebakaran pada awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, lima beranak berkenaan disahkan maut di lokasi manakala bapa mereka berusia 30-an terselamat.
"Wanita berusia 35 tahun itu ditemui di bahagian ruang atas rumah manakala empat anaknya berusia 2,7,12 dan 13 tahun berada berhampiran pintu rumah dipercayai cuba keluar menyelamatkan diri.
"Kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan rentung," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Dalam pada itu katanya, suami mangsa yang terselamat dalam kejadian itu baru sahaja mengalami kemalangan jalan raya bulan lalu dan kakinya patah.
"Bagaimanapun ketika kebakaran dia sempat menyelamatkan diri melalui tingkap.
"Dia bersama beberapa penduduk kemudian cuba menyelamatkan ahli keluarganya yang lain, namun keadaan api terlalu marak menyukarkan usaha itu.
"Siasatan lanjut turut mendapati semua jeriji besi pintu rumah masih dalam keadaan berkunci dan insiden ini tidak melibatkan kediaman lain yang terletak berhampiran.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat manakala suami mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut," katanya.
Mohamad Rusli berkata, menurut maklumat awal wanita berkenaan hamil, namun pihaknya perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak hospital.
"Punca kejadian masih dalam siasatan dan polis masih menunggu laporan forensik daripada pihak bomba," katanya.