SEREMBAN - Seorang pengguna mempersoalkan sistem pembayaran tambang sebuah bas awam di negeri ini selepas pemandu bas dikatakan tidak memulangkan wang baki sebanyak 40 sen selain hanya diberikan resit bayaran apabila diminta.
Situasi tersebut dialaminya pengadu ketika menggunakan kemudahan itu dari Bahau ke KTM Seremban.
"Saya pergi KTM Seremban, diminta tambang RM7.
"Bila dapat resit, saya tengok harganya RM6.60 sahaja.
"Pemandu bas cakap susah nak sediakan duit syiling yang banyak, kebanyakan penumpang juga tak bawa syiling," katanya menerusi perkongsian di media sosial pada Rabu.
Ujar pengadu, mengikut prosedur operasi standard (SOP) sepatutnya pemandu bas berkenaan perlu menyebut harga sebenar dan tidak terus menggenapkan harganya.
"Bila saya sentuh dengan kad kredit, terus papar mesej pembayaran dibatalkan.
"Pemandu bas maklum, sistem belum siap lagi dan liputan rangkaian pun kurang menyeluruh, kejap ada kejap tiada, susah juga," katanya.
Perkongsian itu mengundang reaksi pengguna media sosial yang mempertahankan tindakan pengadu menularkan isu tersebut.
Seorang pengguna media sosial, Maryam Wafa berkata, bukan isu baki 40 sen atau sedekah tapi ia berkait integriti.
Katanya, sedekah itu perlu dilakukan dengan ikhlas dan tidak secara paksa rela seperti situasi di atas.
"Kalau penumpang tak ikhlas, siapa kita nak paksa-paksa dia suruh ikhlas. Tak kira RM40, RM4 atau 40 sen, tetap ada nilai.
"Kalau seorang dia boleh kutip 40 sen, katalah 10 orang, dia dapat RM4 sehari. Kalau sebulan dapat RM120.
" 40 sen tu hak penumpang. Bukan hak pemandu atau syarikat bas. Harap syarikat bas dan pihak berkaitan ambil maklum perkara ini," katanya di ruangan komen hantaran tersebut.
Seorang lagi pengguna media sosial, Nizam Hanapiah berkata, situasi sama turut dialami oleh anaknya yang juga seorang pelajar yang tidak dipulangkan wang baki ketika menaiki bas.
"Anak saya pun kena macam ini, dari Seremban ke Bahau. Anak ada kad pelajar dan sepatutnya tak perlu bayar, hanya perlu sentuh kad tersebut ke mesin bas.
"Tapi pemandu bas cakap dah tak boleh guna kad tersebut jadi anak perlu bayar RM10, tiada baki dan tiada resit.
"Nasib baik anak saya tak ingat nombor plat bas, kalau ada memang saya buat aduan," katanya.
Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berhubung aduan itu.