Pagar banglo biru runtuh, halaman rumah pula diancam hakisan

Iklan
Pagar sebelah kanan rumah Nohd Yazit berisiko runtuh ketika ditemui pemberita di Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Nerus pada pagi Selasa.

KUALA NERUS - Usaha menyelamatkan sebuah banglo biru yang tular akibat hakisan pantai di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini semakin sukar apabila ombak besar setinggi hampir 2.8 meter telah merobohkan pagar menyebabkan halaman kediaman itu pula berisiko runtuh.

Pemiliknya, Mohd Yazit Idris, 66, berkata, dia menyedari pagar di sebelah kanan rumahnya itu roboh kira-kira jam 9.30 malam pada Selasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia tidak menduga keadaan itu berlaku dalam tempoh singkat memandangkan kerja-kerja menyelamatkan bahagian dapur rumah yang berdepan ancaman hakisan sebelum ini baru selesai.

"Apabila pagar runtuh, kawasan halaman rumah pula berisiko kerana ia akan semakin mengecil jika tanah di bahagian itu runtuh lagi.

Iklan

"Sebelum ini jarak antara pagar dengan kawasan pantai lebih 10 meter, namun dalam tempoh beberapa minggu sahaja kawasan di sini berubah dengan drastik.

"Saya juga buntu memikirkan keadaan ini, kerana selepas bahagia dapur dapat diselamatkan, bahagian pagar sebelah kanan rumah pula mengalami hakisan," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Iklan

Mohd Yazit berkata, masalah hakisan yang telah merebak ke halaman rumahnya itu umpama mimpi ngeri baharu buatnya.

"Saya akan kekal bertahan kerana fenomena ombak besar setinggi 2.4 hingga 2.8 meter dijangka berlarutan sehingga malam esok (Khamis).

"Tempoh ombak besar yang membadai dengan kuat ini diramal berlaku selama tiga hari. Semoga saya mampu terus bertahan,"ujarnya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan kawasan tanah di kediaman bernilai RM600,000 itu kembali rebak akibat dibadai ombak besar pada malam Isnin.

Ombak dengan ketinggian sehingga mencecah 2.8 meter telah menghempas sebahagian tanah itu menyebabkan pagar di tepi rumahnya hampir runtuh.

Menurut Mohd Yazit, kemuncak fenomena ombak besar yang berlaku sejak seminggu lalu akan mula memuncak sekitar jam 5 petang sehingga awal pagi.

Sebelum ini, kisah banglo mewah milik Mohd Yazit yang dihadiahkan kepada arwah isterinya, Allahyarhamah Siti Rashiddah Mohd Yunos, 66, tular di media sosial selepas mendapat liputan akhbar Sinar Harian pada Disember tahun lalu.

Mohd Yazit ketika itu buntu memikirkan langkah perlu diambil apabila kediaman dibina hasil wang persaraannya hampir runtuh dan dikhuatiri musnah akibat fenomena hakisan dan ombak besar.

Warga emas berasal dari Puchong, Selangor berkata, rumah dibina di atas tanah itu kini menunggu masa roboh selepas dilanda ombak besar pada 4 Januari lalu.