'Kerjasama UMNO-GRS ibarat bunuh diri' - Awang Aslee

Iklan
Awang Aslee

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat mengakui beliau antara 22 Ketua UMNO Bahagian yang tidak bersetuju UMNO Sabah bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu belum dibincangkan di peringkat Perhubungan UMNO Negeri namun ia telah diutarakan di peringkat jawatankuasa antara Ketua-Ketua Bahagian.

Iklan
Iklan

"Betul saya salah seorang ketua bahagian yang menentang dan tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan GRS. Memang 22 bahagian tidak bersetuju dan isu ini diutarakan melalui jawatankuasa-jawatankuasa lain seperti 'war room' dan sebagainya.

"Kalau kita jumpa dengan rakan-rakan ketua bahagian, pemimpin-pemimpin negeri, kita selalu bincangkan ke mana hala tuju kita, mana satu gabungan yang boleh membunuh kita.

Iklan

"Jadi rata-rata ketua bahagian tidak mahu Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan GRS, sebab sudah banyak kali kita ditikam dari belakang, sudah dua kali. Tidak mungkin kita ditikam buat kali ketiga. Orang kata kalau kita bersama mereka, seolah-olah kita bunuh diri," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambah Awang Aslee lagi, untuk apa UMNO dan BN membuat persediaan jentera jika akhirnya mereka 'dibunuh' menerusi kerjasama tersebut.

Iklan

"Jadi terpulang kepada kepimpinan UMNO negeri untuk membuat keputusan, sebab kita ada autonominya sendiri yang menyatakan UMNO negeri boleh bekerjasama dengan sesiapa saja parti yang kita mahu kerjasama.

"Kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali GRS. Pakatan Harapan (PH) atau Parti Warisan (Warisan) kita tiada masalah yang penting mereka setuju dengan kita punya syarat," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, UMNO Bahagian Beaufort tekad untuk merampas semula dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik UMNO sebelum ini.

"Kami sudah bersedia dan boleh dikatakan 90 peratus jentera sudah bersedia supaya perjalanan untuk berhadapan pilihan raya berjalan lancar. Kita hanya menunggu masa untuk bubar saja.

"PRN kali ini kami mahu ambil semula DUN Kuala Penyu dan Klias milik UMNO sebelum ini. Kedua-duanya sudah ada calon tetapi terpulang kepada kepimpinan negeri untuk menentukannya," katanya.