Kerajaan, Razak Baginda diperintah bayar RM9.4 juta kepada keluarga Altantuya

Iklan
Razak Baginda (kiri), Altantuya

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memerintahkan kerajaan dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, membayar RM9.4 juta kepada keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan kedua-dua pihak itu membayar 50 peratus daripada jumlah berkenaan terlebih dahulu.

Iklan
Iklan

Peguam keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo selaku plaintif berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, M Sumathi memerintahkan pihak berkenaan melunaskan bayaran dalam tempoh 30 hari, bermula Rabu.

Menurutnya, pembayaran itu perlu dimasukkan ke dalam akaun firma guaman Karpal Singh & Co sehingga rayuan dilupuskan.

Iklan

"Hari ini merupakan prosiding pendengaran, berhubung permohonan Razak dan kerajaan untuk menggantung bayaran sehingga rayuan dibuat,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, berdasarkan penghakiman, Sumathi membenarkan penangguhan bersyarat terhadap kerajaan dan Abdul Razak selaku defendan ketiga dan keempat, sebanyak 50 peratus daripada jumlah keseluruhan RM9,404,109.60.

Iklan

Pada 16 Disember 2022, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan saman yang difailkan keluarga itu berhubung kematian Altantuya pada 2006 lalu, terhadap empat defendan termasuk kerajaan Malaysia.

Hakim, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang kini Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya memutuskan demikian ketika prosiding dijalankan menerusi aplikasi Zoom.

Bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya iaitu Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007 yang mendakwa kematian wanita itu menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk.

Mereka menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar; penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan masing-masing defendan pertama hingga keempat.

Bagaimanapun nama Altanshagai Munkhtulga dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia pada 2017.

Altantuya yang dilaporkan berperanan sebagai penterjemah dalam proses rundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS, kepada kerajaan Malaysia, dibunuh oleh dua pengawal peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, pada 18 Oktober 2006.

Berikutan itu, dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), iaitu Koperal Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Tinggi di sini kerana membunuh Altantuya pada November 2006.