SERDANG - Helah pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di ruang siling bumbung dan tangki air gagal apabila taktik itu dikesan Jabatan Imigresen (JIM) dalam operasi penguatkuasaan di Pangsapuri Timur, di sini pada Selasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya berjaya menahan 37 PATI atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi yang bermula jam 12.10 tengah malam itu.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Pakistan berusia 19 hingga 50 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, operasi itu melibatkan 58 pegawai pelbagai pangkat daripada Ibu Pejabat JIM Putrajaya dengan 82 individu daripada pelbagai warganegara telah diperiksa di sebuah pangsapuri yang didiami warga asing.
"Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung PATI yang disyaki tinggal di unit-unit kediaman pangsapuri tersebut tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.
"Ketika serbuan dijalankan, terdapat warga asing yang enggan memberikan kerjasama hingga memaksa pegawai operasi memecahkan pintu unit kediaman mereka," katanya.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Imigresen 1963.
Beliau berkata, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
"JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
"Tindakan juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI," ujarnya.