SHAH ALAM - Malaysia tidak boleh berpuas hati dengan kedudukan di tangga ke-57 dalam CPI 2024 apatah lagi dalam keadaan negara jiran, Singapura naik ke tangga ketiga daripada keseluruhan 180 negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, kedudukan Malaysia yang kekal pada tangga 57 untuk dua tahun berturut-turut itu memberi indikasi bahawa satu usaha yang lebih komprehensif, pendekatan lebih menyeluruh dan sistemik perlu dilakukan untuk membendung rasuah.
"Sudah tentu kita tak boleh berpuas hati, walaupun ada tindakan memerangi rasuah sedang diambil atau sudah bermula tetapi kita kena lihat sasaran Perdana Menteri yang mahu kedudukan Malaysia melonjak ke tangga 25 dalam tempoh 10 tahun akan datang.
"Tempoh itu tidak panjang jadi untuk selesa kita memerlukan tambahan skor 20 mata lagi. Ia bermakna, setiap tahun skor kita kena meningkat sebanyak dua mata sepanjang tempoh 10 tahun berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Berdasarkan CPI 2024, tiga negara teratas ialah Denmark, Finland dan Singapura masing-masing dengan skor sebanyak 90 mata, 88 mata dan 84 mata.
Nurhayati berkata, Malaysia boleh mempraktikkan strategi serampang dua mata untuk melakukan penambahbaikan supaya kedudukan CPI negara lebih stabil termasuk mencontohi dan mengambil kira amalan terbaik yang dipraktikkan di tiga negara teratas terbabit.
"Kita kena tengok amalan terbaik yang dilakukan di negara-negara berkenaan seperti dari segi kecekapan, ketelusan dan sistem penyampaian mereka yang menyebabkan CPI mereka itu lebih baik daripada Malaysia.
"Kena lihat apa kaedah yang digunakan, kerana walaupun di ASEAN Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Singapura, tetapi dari segi mata serta kedudukan peringkat global jauh berbeza antara dua negara ini,” ujarnya.
Menurutnya, pendekatan yang perlu diperkasa mestilah pelbagai merangkumi banyak lapisan dan tingkat bermatlamat menambah baik sudut perundangan serta mewujudkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menghapuskan rasuah.
"#RasuahBusters memang sudah memulakan satu pendekatan yang mana kita guna serampang dua mata.
"Pertama untuk pastikan kita dapat bina negara Malaysia tanpa rasuah, pihak yang bertanggungjawab dalam polisi undang-undang kena kukuh. Jadi reformasi itu berlaku. Tapi penting bagi kita merakyatkan reformasi, dalam kata lain macam mana nak fahamkan rakyat tentang pentingnya perundangan,” kata beliau.