Zionis terus mengganas di Tebing Barat

Iklan
Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara selepas Zionis mengebom kem pelarian Nur Shams berhampiran Tulkarem pada akhir minggu lalu.

RAMALLAH - Kempen pencerobohan dilancarkan rejim Zionis ke atas Tebing Barat telah menyebabkan kira-kira 40,000 penduduk Palestin hilang tempat tinggal sejak dua minggu lalu.

Timbalan Gabenor Jenin, Mansour al-Saadi mengesahkan sebahagian besar daripada kumpulan itu adalah penghuni kem pelarian di bandar berkenan setelah ia menjadi sasaran serbuan ganas Pasukan Pertahanan Israel (IDF), kira-kira 17 hari lalu.

Iklan
Iklan

"Mereka terpaksa berpindah sehelai sepinggang. Ia jelas satu lagi konspirasi jahat Zionis ke atas penduduk Palestin,” katanya.

Kumpulan itu terpaksa mencari perlindungan di bandar lain di Tebing Barat selepas serangan berterusan menyebabkan adalah mustahil untuk mereka kembali semula ke kampung halaman masing-masing.

Iklan

Keadaan sama turut dihadapi lebih 10,000 penduduk Palestin yang dipaksa berpindah dari kem pelarian Tulkarem seperti dimaklumkan Gabenor Abdullah Kmeil.

Penduduk Palestin mengangkat tangan kerana bimbang menjadi sasaran penembak tepat di sekitar Tebing Barat.

Operasi ketenteraan ke atas Tulkarem telah berlarutan selama dua minggu dan mengakibatkan kemusnahan yang besar.

Iklan

Zionis turut mengerahkan unit penembak tepat dan jentera berat termasuk jengkaut ke kem pelarian Nur Shams untuk melakukan perobohan struktur yang kononnya didakwa sebagai markas kumpulan pejuang di wilayah berkenaan.

Situasi makin meruncing

Kumpulan hak asasi manusia, B'Tselem mendakwa Zionis sedang melancarkan perang secara habis-habisan ke atas penduduk Palestin meskipun pelaksanaan gencatan senjata yang rapuh di Genting Gaza.

"Situasi di Tebing Barat semakin meruncing,” ujar badan berpusat di Tel Aviv itu menerusi platform X pada Ahad.

Menurutnya, pelampau Yahudi turut menyerang komuniti Palestin hampir setiap hari malah mereka diiringi pihak berkuasa Israel ketika melakukan serangan tidak berperikemanusiaan tersebut.

Penduduk Palestin memeriksa kemusnahan bangunan susulan serangan askar IDF di Tebing Barat. Foto AFP

"Sejak tempoh bertenang berkuat kuasa di Gaza pada 19 Januari lalu, kami menyaksikan lebih banyak serbuan ke atas bandar dan perkampungan di wilayah ini yang turut meragut banyak nyawa orang tidak berdosa. Ini bukan keadaan gencatan senjata sepatutnya,” tegas B'Tselem lagi.

Menerusi kejadian keganasan terbaharu, IDF bertindak kejam menembak mati seorang ibu sarat hamil ketika serbuan di kem pelarian Nur Shams di barat laut Tebing Barat.

Mangsa dikenali sebagai Sundus Jamal Shalabi, 23, dan turut kehilangan bayi dalam kandungannya setelah menjadi sasaran penembak tepat.

Kementerian Kesihatan memaklumkan suami mangsa turut cedera parah dalam insiden itu.

Sementara itu, ketua majlis perkampungan di Duma, Suleiman Dawabsheh memberitahu, puak ekstremis Yahudi bertindak melakukan vandalisme dan berterusan merosakkan tanaman pokok zaitun milik penduduk Palestin di kawasan tersebut.

Pada minggu lalu, Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok, sebuah suruhanjaya kerajaan Palestin yang bergabung dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mendedahkan ekstremis Yahudi telah melakukan kira-kira 2,161 serangan ke atas komuniti Palestin sepanjang Januari. - Agensi