Pemilik banglo biru kembali resah, tanah runtuh dibadai ombak

Iklan
Mohd Yazit melihat keadaan tanah rebak di kediamannya di Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Nerus.

KUALA NERUS - Kawasan tebing bersebelahan banglo biru bernilai RM600,000 yang tular akibat ancaman hakisan di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini kembali rebak akibat dibadai ombak besar malam tadi.

Mohd Yazit Idris, 66, berkata, ombak setinggi 2.4 hingga 2.8 meter yang menghempas kawasan itu menyebabkan pagar di tepi rumahnya hampir runtuh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemuncak fenomena ombak besar yang berlaku sejak seminggu lalu bermula jam 5 petang Isnin dan berlarutan hingga 5 pagi pada Selasa.

"Apabila terjaga pagi tadi saya berasa lega kerana dapati bahagian dapur rumah masih selamat dan kukuh.

Iklan
Pagar banglo Mohd Yazit berisiko runtuh pada bila-bila masa akibat fenomena hakisan pantai.

"Namun, saya terkejut sebaik melihat tanah di bahagian pagar tepi halaman rumah pula yang runtuh," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tanjung Batu Rakit di sini, pada Selasa.

"Pembinaan benteng pemecah ombak untuk menyelamatkan bahagian dapur rumah yang sebelum ini hampir roboh telah siap kira-kira tiga minggu lalu.

Iklan

"Saya ada dapat bantuan daripada anak syarikat kerajaan negeri yang menyumbang batu-batu besar untuk dibuat benteng itu sebagai langkah pencegahan sementara.

"Kemudian, saya gunakan wang sedekah kawan dan saudara-mara untuk beli sebanyak 33 lori tanah bagi menambak bahagian yang runtuh akibat hakisan," ujarnya.

Dia memberitahu, dia agak gusar kerana ombak besar dijangka melanda dalam tempoh dua hari lagi.

Pemandangan keseluruhan keadaan kediaman Mohd Yazit yang diancam fenomena hakisan pantai.

"Saya mohon doa semua pihak untuk rumah ini dapat terus bertahan sementara menunggu situasi kembali reda selepas musim tengkujuh berakhir sepenuhnya," katanya.

Sebelum ini, kisah banglo mewah milik Mohd Yazit yang dihadiahkan kepada arwah isterinya, Allahyarhamah Siti Rashiddah Mohd Yunos, 66, tular di media sosial selepas mendapat liputan Sinar Harian pada Disember tahun lalu.

Mohd Yazit ketika itu buntu memikirkan langkah perlu diambil apabila kediaman dibina hasil wang persaraannya hampir runtuh dan dikhuatiri musnah akibat fenomena hakisan dan ombak besar.

Warga emas berasal dari Puchong, Selangor berkata, rumah dibina di atas tanah itu kini menunggu masa roboh selepas dilanda ombak besar pada 4 Januari lalu.

Masalah hakisan yang hampir memusnahkan kediamannya itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.