SHAH ALAM - Kementerian Kewangan (MOF) bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan pihak industri automotif sedang meneliti kaedah penilaian kenderaan bagi memastikan pengenaan cukai dilaksanakan secara adil, seragam, neutral serta konsisten.
Menurut MOF dalam kenyataan pada Selasa, laporan berita berhubung jangkaan kenaikan harga kenderaan secara signifikan bermula tahun 2026 adalah tidak benar.
Iklan
Iklan
"Perkara tersebut adalah susulan penguatkuasaan sepenuhnya peraturan cukai eksais baharu iaitu P.U.(A) 402/2019 atau Peraturan Cukai Eksais (Penentuan Nilai Barangan yang Dihasilkan Secara Tempatan untuk Tujuan Mengenakan Cukai Eksais).
"Oleh hal yang berkenaan, MOF belum membuat sebarang keputusan muktamad,” menurut kementerian itu.
Sebelum ini, media melaporkan harga kereta pemasangan tempatan tidak akan dinaikkan sehingga awal tahun depan berikutan semakan semula duti eksais nilai pasaran terbuka (OMV), yang sepatutnya dilaksana pada 2020, ditangguh beberapa kali dengan tarikh akhir Januari 2025 kini dibawa ke Januari 2026.
Dalam pada itu, bagi sektor pengedar dan pengilang motosikal pula, menjangkakan kenaikan harga motosikal sehingga 20 peratus sebaik nilai pasaran terbuka (OMV) yang disemak semula untuk kenderaan dilaksanakan.