Belanjawan 2027: Kerajaan bakal umum langkah tegas pastikan gaji yang adil - Anwar

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam pada Sabtu.Foto Bernama

SHAH ALAM - Kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah yang lebih tegas bagi memastikan graduan mendapat pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan mereka serta gaji yang adil dalam Belanjawan 2027, yang akan dibentangkan pada 9 Oktober.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan ketika ini dalam peringkat akhir menyiapkan belanjawan tersebut dan akan merangka usaha yang lebih serius, agar kenaikan gaji setara dengan kelayakan para graduan.

Iklan
Iklan

"Di Malaysia, produktiviti terus meningkat, tapi kadar upah itu meningkat sedikit sahaja. Jadi terpaksa kita gunakan kuasa kerajaan untuk menekan sedikit,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan dalam menangani isu gaji yang adil, dengan kelayakan graduan semasa sesi soal jawab pada Program Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bersama-sama Perdana Menteri di UiTM Shah Alam hari ini.

Iklan

Ditanya mengenai isu pengurusan dan kelemahan UiTM Holdings Sdn Bhd pada sesi soal jawab itu, Anwar berkata, perkara tersebut perlu dikaji terlebih dahulu, sebelum sebarang tindakan diambil.

Beliau berkata, laporan berkaitan perkara itu akan turut diberi perhatian melalui kerjasama Naib Canselor UiTM, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Jabatan Perdana Menteri.

Iklan

"Sila lihat tentang UiTM Holdings dan cari jalan bekerjasama dengan Naib Canselor dan Jabatan Perdana Menteri. Pejabat saya akan berikan kerjasama dan pandangan.

"Jangan kita hukum sekarang, kaji dulu apakah kelemahan biasa, itu diperbaiki, tukar orang. Berpuluh agensi kita tukar. Tetapi kalau betul ada kecurangan, mesti ambil tindakan," kata Perdana Menteri.

Anwar berkata, tatakelola yang baik amat penting khususnya dalam agensi Bumiputera bagi memastikan ia menjadi contoh kepada masyarakat.

"Saya lebih tegas dengan agensi Bumiputera. Betul, kerana ini patut jadi contoh," katanya.

Pada 2023, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan penyelewengan yang mengakibatkan kerugian RM157 juta oleh UiTM Holdings Sdn Bhd.

Siasatan SPRM memberi fokus kepada beberapa isu, khususnya melibatkan dana dan beberapa pelaburan yang dibuat UiTM Holdings sehingga melibatkan kerugian jutaan ringgit.- Bernama