MEMANG menjadi kewajipan suami untuk memberikan nafkah untuk isteri dan anak-anaknya.
Namun begitu, seandainya seorang suami dipenjarakan kerana kesalahan tertentu, siapa pula yang perlu memberikan nafkah berkenaan? Bolehkah isteri memohon cerai daripada suaminya yang dijel itu? Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, perceraian merupakan perkara yang dibolehkan andai terdapat sebab-sebab dibenarkan oleh syarak.
"Bahkan, isteri berhak menuntut perceraian apabila suami tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya.
"Meskipun demikian, ia bukanlah suatu perkara yang disukai oleh ALLAH SWT,” katanya dipetik menerusi artikel Irsyad Hukum Siri ke-886: Hukum isteri menuntut cerai kerana suami di penjara yang disiarkan dalam laman web rasmi pejabat mufti tersebut baru-baru ini.
Sekiranya berita atau perkhabaran tentang suami masih lagi diketahui, katanya, pernikahan itu tetap berterusan.
"Hakim berkuasa untuk memerintahkan nafkah isteri diberi menggunakan harta milik suami jika harta tersebut berada di tempat tinggal isterinya.
"Namun, jika suami tidak mempunyai harta di tempat tinggal isterinya, maka hakim berhak membuat tuntutan nafkah isteri kepada hakim negeri suaminya,” katanya sepertimana dipetik menerusi artikel tersebut.
Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa dalam Mazhab Maliki, isteri boleh menuntut perceraian sekiranya suami dipenjarakan.
"Ad-Dusuqi menyatakan, ketiadaan suami sepanjang tempoh pemenjaraan boleh memberi mudarat kepada isteri dan dibimbangi isteri itu akan terjerumus ke dalam penzinaan sekalipun suami tidak berniat untuk berbuat demikian.
"Tempoh ketiadaan suami mestilah dalam suatu tempoh yang lama sekitar satu tahun atau lebih daripada itu,” katanya.
Pejabat mufti itu kemudian mengemukakan pandangan Ibnu Qudamah yang menjelaskan tentang situasi suami yang tidak berkemampuan atau tidak berkeupayaan untuk memberikan nafkah kepada isteri.
"Dalam isu ini, isteri mempunyai pilihan sama ada bersabar dan meneruskan pernikahan atau menuntut perceraian.
"Sekiranya isteri membuat tuntutan perceraian, maka hakim mempunyai hak untuk memutuskan pernikahan,” katanya.
Dari sudut perundangan pula, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, mengikut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Akta 303, dalam Seksyen 52, ada membicarakan berkenaan perintah membubarkan perkahwinan atau untuk tujuan fasakh.
"Selain itu, hujah pendapat yang membenarkan perceraian adalah kerana dikhuatiri isteri menderita akibat kemudaratan sepanjang tempoh pemenjaraan.
"Ulama Mazhab Maliki membenarkannya jika tempoh itu melebihi satu tahun, bahkan suami juga dihukumkan seperti tiada dan ketiadaannya itu berlaku tanpa keuzuran.
"Bagaimanapun, andai isteri mampu bersabar, maka itu adalah lebih baik. Pada masa sama, dinasihatkan agar pasangan merujuk kepada mahkamah syariah negeri berkaitan urusan-urusan ini,” titipnya.