Giliran syarikat beri tol, tambang percuma

Iklan
Tol boleh menjadi percuma jika syarikat terbabit memberikan diskaun 50 peratus lagi sebagai tambahan kepada potongan 50 peratus yang disubsidi oleh kerajaan. Foto hiasan/Bernama

KIRA-KIRA 500,000 orang diunjur mendapat manfaat daripada perkhidmatan tambang percuma selama dua hari yang ditawarkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bermula semalam sempena Thaipusam hari ini.

Kemudahan itu melibatkan penumpang KTM Komuter Lembah Klang, bertujuan memenuhi keperluan permintaan pengguna khususnya penganut agama Hindu, pelancong dan orang awam yang ingin menyaksikan keunikan sambutan Thaipusam di Batu Caves.

Iklan
Iklan

Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Penang Port Sdn Bhd turut menawarkan perkhidmatan feri percuma selama 24 jam pada 10 serta 11 Februari.

Khamis lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan dasar diskaun tol 50 peratus akan dilaksanakan sepanjang musim perayaan tahun ini bagi menggantikan pemberian tol percuma di lebuh raya.

Iklan

Dasar itu telah dimulakan pada Tahun Baharu Cina dua minggu lalu dan akan diteruskan pada Aidilfitri (Mac), Deepavali (Oktober) dan Krismas (Disember) nanti.

Mengambil semangat tambang percuma tren dan feri tersebut, kita berharap sebanyak 32 syarikat konsesi tol akan melaksanakan tanggungjawab sosial dengan memberikan lebih potongan tol.

Iklan

Ini terutamanya membabitkan lebuh raya untuk pulang ke kampung seperti Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan Lebuh Raya Pantai Barat (WCE).

Tol boleh menjadi percuma jika syarikat terbabit memberikan diskaun 50 peratus lagi sebagai tambahan kepada potongan 50 peratus yang disubsidi oleh kerajaan.

Setidak-tidaknya berilah diskaun tambah 30 peratus lagi sebagai tanda terima kasih dan bagi memberi kegembiraan kepada pengguna setia lebuh raya selama ini.

Apatah lagi, syarikat konsesi dikatakan membuat keuntungan yang konsisten setiap tahun malah ada yang meraih faedah selama beberapa dekad lagi.

PLUS contohnya, telah mengutip tol selama 37 tahun sejak 1988 dan di bawah perjanjian baharu, tempoh konsesinya dilanjutkan sehingga 2058 iaitu selama 33 tahun lagi.

Begitu juga dengan LPT yang telah mengutip tol sejak 2004 dan hanya akan tamat pada 2069.

Justeru kita berharap kerajaan dapat berbincang dengan syarikat konsesi terbabit berhubung perkara itu lebih-lebih lagi menjelang Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.