Tindakan tegas peniaga 'ali baba’ tapak bazar Ramadan di PJ

Iklan
Mohamad Zahri (tengah) ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Atlet Larian Menara, Soh Wai Ching (dua dari kiri) Bersama MBPJ di sini pada Isnin.

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga yang mengaut keuntungan dengan ‘ali baba’ tapak bazar Ramadan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa mengenai perkembangan itu.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, MBPJ berharap peniaga yang mendapat peluang untuk menjalankan perniagaan mereka sepanjang Ramadan tahun ini agar memanfaatkan peluang yang diperoleh dengan sebaiknya.

"Kita membuka peluang perniagaan kepada mereka memerlukan jadi kepada yang layak dan telah mendapat lesen perlu manfaatkannya dengan menggunakan peluang sebaiknya.

Iklan

"Jika ada pelanggaran atau ada menyewakan lesen kepada pihak lain, kita memang tidak akan berkompromi dalam hal ini, kita akan ambil tindakan dan saya harap ia digunakan sebaiknya," ujarnya.

Beliau ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Atlet Larian Menara, Soh Wai Ching Bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya di Bilik Gerakan Ibu Pejabat MBPJ di Petaling Jaya pada Selasa.

Iklan

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan membatalkan lesen perniagaan bazar Ramadan yang dijual kepada pihak ketiga.

Tegas Anwar, penglibatan ejen selaku orang tengah yang 'memakan' komisen besar sudah berlarutan saban tahun dan situasi itu bukan hanya berlaku di DBKL sahaja malah hampir di semua kawasan seliaan PBT yang lain.

Mohamad Zahri mengulas lanjut berkata, MBPJ menyediakan 1,260 petak bazar di 18 lokasi sekitar daerah ini yang mana setakat ini 1,107 peniaga membuat permohonan membabitkan hampir 88 peratus tapak.

"Bagi menggalakkan persekitaran lestari, MBPJ memperuntuk RM30,000 dengan menawarkan kupon digital bernilai RM15 kepada pengunjung yang menggunakan beg kitar semula," tambahnya.