Misteri kebakaran bersiri di Baling akhirnya terjawab

Iklan
Awang Hidzel

ALOR SETAR - Pihak berkuasa mengesahkan kejadian kebakaran bersiri yang berlaku di Baling, bulan lalu, bukan disebabkan perkara mistik, sebaliknya berpunca daripada petrol.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Awang Hidzel Awang Bujang berkata, penemuan sampel di lokasi disahkan selepas sisa kebakaran dihantar ke makmal penyiasatan kebakaran JBPM Pulau Pinang untuk dianalisa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil dapatan Jabatan Kimia menunjukkan terdapat unsur petrol di lokasi, seterusnya membuktikan unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.

"Kes membakar rumah bersiri seperti di Baling belum pernah berlaku, namun kes dianggap selesai selepas tangkapan suspek dilakukan pihak polis,” katanya pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Tahunan 2025 JBPM Kedah di sini pada Isnin.

Iklan

Terdahulu, dalam kejadian di Baling, kes kebakaran bersiri membabitkan tujuh rumah dan sebuah rumah kedai termasuk 11 motosikal serta dua kereta berlaku selang beberapa hari sejak 24 Disember 2024 sehingga 12 Januari lalu.

Bagaimanapun, suspek yang melakukan perbuatan khianat itu mengakibatkan kerugian berjumlah RM634,415 sudah ditahan polis.

Iklan

Dalam pada itu, berkaitan kes kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard pada 21 Januari lalu, Awang Hidzel memaklumkan, kes tersebut diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam.

"Kita mengambil 12 sampel bahan bukti di lokasi kebakaran, hanya tiga sampel di tiga lokasi kawasan mayat ditemui didapati positif mengandungi bahan api petrol.

"Hasil laporan diserahkan kepada polis untuk membuktikan wujudnya perbuatan sengaja dibakar sebelum tangkapan dilakukan," katanya.

Dalam kejadian itu, dua lelaki rentung dan polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kes bunuh dengan tertangkapnya lima individu berusia 19 hingga 53 tahun termasuk anak saudara mangsa.