RANAU - Seorang lelaki warga emas dilaporkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika mendaki Gunung Kinabalu pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Khoo Ah Hook, 65, melakukan pendakian bersama isterinya dan mereka sudah berada di separuh perjalanan untuk ke Panalaban sebelum dilaporkan tiba-tiba tidak sedarkan diri.
Iklan
Iklan
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Mohd Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.11 petang.
Katanya, seramai enam anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) telah dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh satu kilometer.
"Ketika kejadian, mangsa bersama isterinya memulakan pendakian untuk ke Panalaban. Bagaimanapun, ketika berada di Kilometer 5.5 mangsa tiba-tiba pengsan.
"Anggota MOSAR bersama pasukan mencari dan penyelamat taman dan malim gunung bertindak membawa mangsa turun menggunakan pengusung sehingga ke Timpohon namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.30 malam.