DALAM dunia politik Malaysia, tidak kira siapa pun sama ada Melayu, Cina atau India, pasti ada yang menggunakan taktik manipulasi isu kaum dan agama demi mendapat kuasa.
Kalau diteliti, gaya politik perkauman ini sebenarnya tidak jauh berbeza dengan strategi yang dulu digunakan oleh penjajah British di Tanah Melayu, iaitu pecah dan perintah yang bertujuan melemahkan perpaduan bangsa.
Kini, ada pemimpin politik yang semakin pandai memanfaatkan perasaan sensitif masyarakat terhadap agama, kaum dan budaya untuk mencetuskan ketakutan dan kebencian kepada kelompok tertentu. Selepas itu mereka mula menangguk di air keruh.
Sebagai contoh, kita sering mendengar tuduhan palsu atau fitnah yang cuba mengaitkan golongan tertentu atau pengaruh luar yang kononnya akan mengancam kemajuan kaum lain.
Fitnah-fitnah ini digunakan sebagai alat untuk mencipta ketegangan dalam masyarakat, supaya rakyat berasa terancam dan akhirnya memberikan sokongan kepada mereka.
Selain itu, ada parti yang aktif menyebarkan propaganda bagi menonjolkan jurang perbezaan antara kaum dan agama, dengan tujuan untuk memperkukuh kedudukan mereka dalam kalangan pengundi daripada kelompok tertentu.
Mereka bercakap seolah-olah mereka sahaja yang boleh melindungi hak dan kepentingan kaum mereka, padahal ia hanyalah satu helah politik untuk mengekalkan kuasa. Taktik ini bukan sahaja membawa kepada perpecahan dalam masyarakat, tetapi juga merosakkan keharmonian yang selama ini dinikmati oleh rakyat Malaysia.
Jika kita renung-renungkan, gaya politik yang diamalkan hari ini semakin menyerupai cara-cara British dulu, yang memanfaatkan perbezaan kaum untuk melemahkan perpaduan rakyat Tanah Melayu.
Kini, pemimpin politik sendiri telah menjadi pelaku ‘pecah dan perintah’ dengan memainkan sentimen perkauman demi kuasa. Persoalannya, adakah kita akan terus terjerumus ke dalam perangkap ini?
Adakah kita rela membiarkan perpaduan negara terus tergugat hanya kerana nafsu segelintir pihak untuk mengekalkan kuasa?
Mungkin sudah tiba masanya rakyat Malaysia sedar dan bersatu untuk menolak politik perkauman ini, supaya kita dapat membina sebuah negara yang lebih harmoni, adil dan sejahtera untuk semua.