[VIDEO] Keluarga kutip makanan tamat tempoh bakal miliki rumah sendiri

Iklan

KUALA NERUS - Impian seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) untuk memiliki kediaman sendiri setelah dua tahun mendiami rumah usang di Kampung Darat, Batu Rakit di sini bakal menjadi kenyataan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Mohd Hasbie Muda berkata, proses pembinaan rumah baharu buat Jani Yusof, 62, dan keluarganya akan dibantu Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Iklan
Iklan

Menurutnya, kisah lelaki itu sebelum ini tular di media sosial baru-baru ini kerana terpaksa mengutip makanan yang sudah tamat tempoh untuk keperluan isteri dan tiga anaknya.

"Kisah menimpa keluarga ini mendapat perhatian PH di mana kita akan bantu keluarga ini mempercepatkan proses untuk memiliki rumah.

Iklan
Jani (dua dari kanan) ketika menerima kunjungan Mohd Hasbie dan Zulkifli di rumah usang yang dididaminya bersama isteri dan tiga anak.

Mohd Hasbie ditemui pemberita ketika menziarahi keluarga berkenaan di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan Setiu, Datuk Zulkifli Amin Mamat.

Iklan

Sementara itu, Jani berkata, dia amat terharu dengan bantuan yang diberikan terhadap mereka sekeluarga.

Pemandangan dari hadapan rumah usang didiami Jani sekeluarga.

"Saya bersyukur kerana selepas sebuah kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) datang membantu, makin ramai yang tahu mengenai kesusahan yang kami alami ini.

"Saya bersyukur kerana ramai yang sudi datang menghulurkan bantuan dan saya difahamkan pembinaan rumah di sini akan disegerakan secepat mungkin," katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan Jani yang cacat di bahagian kaki terpaksa mencari rezeki bersama isterinya, Maznah Abu Bakar, 43, sebagai pengumpul barang besi dan bahan kitar semula untuk dijual kepada pembekal dengan pendapatan tidak sampai RM200 sebulan.

Pasangan itu akan keluar mencari makanan atau barangan yang dibuang sekitar tong sampah berhampiran pasar raya untuk menyara tiga anaknya yang berusia dua hingga lapan tahun.

Walaupun mendapat bantuan sara hidup daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM4,000 setahun serta bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM450 sebulan, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka setiap bulan.

Mohd Hasbie (kanan) bersama Zulkifli (dua dari kanan) ketika menziarahi keluarga itu di Kampung Darat Batu Rakit di Kuala Nerus.

Jani berkata, dia dan isterinya akan mencari makanan tamat tempoh di tempat buangan sampah sekitar daerah ini bagi menjimatkan perbelanjaan barangan dapur.

Antara makanan dan barangan yang diambil ialah seperti biskut, serbuk teh dan kopi, serbuk rempah-ratus, bawang, susu, lampin pakai buang dan telur yang sudah pecah untuk dijadikan lauk harian.

Penderitaan lima sekeluarga itu sebelum ini mendapat perhatian Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Terengganu yang turun padang menjenguk keluarga berkenaan.

Ketuanya, Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin berkata, keluarga tersebut akan dijadikan anak angkat AMK Terengganu dengan fokus diberi kepada aspek pendidikan dua anak Jani yang masih bersekolah.