OXFORD, United Kingdom - Pelajar Malaysia di United Kingdom (UK) menyambut baik inisiatif USANITA menjalin kolaborasi strategik berimpak tinggi dengan Sekolah Perniagaan Saïd, Universiti Oxford.
Presiden Badan Perhubungan Negara London, Muhammad Aliff Najmi Azizi, berkata, kerjasama itu dilihat sebagai langkah penting memperkukuh hubungan Malaysia-UK dan meningkatkan daya saing graduan negara di peringkat antarabangsa.
Beliau turut berharap modul pembelajaran di bawah program ini merangkumi kursus berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan pelajar lepasan ijazah Malaysia lebih berdaya saing dalam era Revolusi Industri 4.0.
"AI kini menjadi asas utama dalam pelbagai sektor seperti kejuruteraan, kesihatan, perniagaan dan kewangan. Kursus ini akan memberi kelebihan kompetitif kepada pelajar serta lepasan siswazah Malaysia dalam dunia kerjaya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, Presiden Persatuan Malaysia dan Singapura (MASSOC) Sheffield, Danial Haironnine, menyifatkan kejayaan USANITA menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Oxford sebagai bukti rakyat Malaysia mampu mencapai kejayaan global dengan strategi yang tepat.
"Kerjasama ini bukan sahaja membuka akses kepada pendidikan bertaraf dunia, tetapi juga memperkukuh hubungan akademik dan profesional antara Malaysia dan UK," katanya.
Bagi meraikan kejayaan tersebut, USANITA turut mengadakan majlis minum petang di sebuah restoran terkenal di Oxford, dihadiri pelajar dari Oxford, York, Sheffield, Warwick dan London bagi bertukar pandangan mengenai kolaborasi berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan berkata, pihaknya sentiasa mendapatkan maklum balas bagi memastikan program dan kursus yang ditawarkan memenuhi keperluan semasa dan masa depan.
"Kami percaya pelajar Malaysia adalah aset negara yang perlu dibimbing dan diberi peluang meningkatkan kemahiran serta pengetahuan agar mampu bersaing di peringkat global," katanya.