SHAH ALAM - Pernah berputus asa akibat lumpuh separuh badan sejak berusia 17 tahun, Mohamad Arif Ahmad bertekad untuk bangkit mengubah nasib dengan melibatkan diri dalam bidang perniagaan.
Meskipun berstatus orang kurang upaya (OKU), lelaki berusia 25 tahun itu tidak mahu keadaan dirinya terus menjadi beban kepada keluarga.
Mohamad Arif berkata, nasibnya berubah selepas terbabit dalam kemalangan kereta ketika bekerja sebagai penghantar makanan di Senai, Johor pada Disember 2017.
"Akibat kemalangan, saya disahkan lumpuh separuh badan kerana tulang belakang patah hingga beri kesan kepada tulang sum-sum dan kecacatan itu seumur hidup.
"Keadaan itu menyebabkan saya bergantung sepenuhnya kepada kerusi khas untuk pergerakan dan pekerjaan," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, tular video di aplikasi TikTok memaparkan Mohamad Arif memberi perkhidmatan gunting rambut di rumahnya menggunakan kerusi roda khas yang boleh diubah suai untuk memudahkannya berdiri.
Walaupun dibantu kerusi khas, anak jati Johor itu memaklumkan, dia tidak mampu berdiri lebih tiga jam.
"Sebelum ini, saya sudah ada kedai untuk jalankan perniagaan perkhidmatan gunting rambut, namun terpaksa ditutup minggu lalu.
"Sekarang saya teruskan perkhidmatan itu di rumah dan apa yang dikongsikan ini untuk menggalakkan golongan OKU di luar sana terus berusaha kerana kita juga boleh berjaya," ujarnya.
Lebih membanggakan, Mohamad Arif merupakan atlet Paralimpik Sukan Malaysia (SUKMA) Johor dan pemegang dua pingat gangsa acara ping pong bagi kategori individu dan beregu pada temasya 2022.