Kecewa khidmat agensi umrah, jemaah buat 10 laporan polis

Iklan
Mohd Hilmi (kanan) bersama beberapa jemaah lain membuat 10 laporan polis di Balai Polis Bayan Baru terhadap syarikat agensi umrah yang didakwa menipu jemaah.

BAYAN BARU - Sekumpulan jemaah umrah mendakwa ditipu oleh sebuah syarikat agensi umrah berdaftar setelah perkhidmatan yang dijanjikan tidak ditunaikan menyebabkan mereka mengalami kesulitan sepanjang urusan ibadah mereka.

Salah seorang jemaah, Mohd Hilmi Che Rose, 40, berkata, susulan daripada itu, 10 laporan polis telah dibuat untuk menuntut keadilan atas kerugian yang mereka alami selepas membayar pakej umrah sebanyak RM8,890 setiap seorang.

Iklan
Iklan
Mohd Hilmi menunjukkan pakej Makkah Tower yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan.

Menurutnya, dia bersama sembilan jemaah lain membuat laporan polis tersebut di Balai Polis Bayan Baru pada petang Jumaat.

Bercerita lanjut, ahli perniagaan itu berkata, dia bersama 18 ahli keluarganya tertarik dengan pakej yang dinamakan Makkah Tower itu kerana harga yang ditawarkan dilihat berbaloi berbanding syarikat agensi umrah lain.

Iklan

Katanya, rombongan yang disertai mereka berlepas ke Makkah pada 23 Januari lalu dan pulang ke tanah air pada 3 Februari.

"Kami mendapat tahu tawaran pakej 12 hari 10 malam dengan harga RM8,890 seorang manakala warga emas dan kanak-kanak dikenakan caj RM8,590 seorang di Facebook syarikat tersebut.

Iklan

"Kami tertarik kerana harganya tidak lah terlalu mahal dan berbaloi dengan tawaran-tawaran yang dijanjikan. Tambahan pula, kami juga tidak was-was kerana kakak kepada wakil syarikat tersebut tinggal sekampung dengan kami.

"Bagaimanapun, selepas pembayaran penuh oleh 18 ahli keluarga melibatkan jumlah RM150,000, kami dimaklumkan ada perubahan mendadak pada saat akhir iaitu sehari sebelum berlepas," katanya ketika ditemui di hadapan Balai Polis Bayan Baru di sini pada Jumaat.

Jelasnya lagi, pakej tersebut sepatutnya merangkumi penerbangan, penginapan berhampiran Masjidil Haram, makanan serta perkhidmatan tambahan lain seperti perjalanan menaiki kereta api laju dua hala antara Makkah dan Madinah.

"Selepas bayaran penuh dibuat, kami dikenakan caj tambahan yang tidak dimaklumkan sebelum ini, termasuk RM500 seorang bagi penukaran bilik, RM100 seorang untuk beg yang sepatutnya percuma serta pembatalan perkhidmatan kereta api laju dua hala.

Dakwa Mohd Hilmi lagi, mereka juga tidak menginap di hotel seperti yang dijanjikan.

"Di Makkah, kami ditempatkan di sebuah hotel yang berjarak 3.2 kilometer dari Masjidil Haram, bukan di Makkah Tower yang hanya 50 meter dari masjid. Kami juga tidak disediakan pengangkutan percuma seperti yang dijanjikan, menyebabkan kami terpaksa membayar tambang teksi sendiri.

"Di Madinah pula, kami gagal mendapatkan akses ke Raudhah seperti yang dijanjikan melalui Muassasah dan hanya diberikan pilihan masuk melalui aplikasi Nusuk, tetapi tempat sudah penuh. Malah, ada yang terpaksa membayar RM50 seorang untuk mendapatkan akses," katanya.

Dia mendakwa, lebih mengecewakan, wakil syarikat seolah-olah lepas tangan dan enggan bertanggungjawab selepas mereka pulang ke tanah air.

"Kami cuba menghubungi pihak agensi untuk mendapatkan penjelasan, tetapi mereka hanya mendiamkan diri dan tiada sesiapa di pejabat syarikat itu yang mahu bertanggungjawab sehingga ke hari ini.

"Tujuan kami buat laporan polis hari ini adalah untuk mengelakkan lebih ramai jemaah yang tertipu seperti kami selepas ini. Kami juga berharap agar polis mengambil tindakan terhadap syarikat agensi berkenaan dan individu yang bertanggungjawab," katanya.

Ujar Mohd Hilmi, mereka ingin pemulangan wang semula berjumlah RM2,000 hingga RM3,000 daripada syarikat tersebut yang merangkumi tambang teksi dan perbelanjaan lain.

"Selain laporan polis, kami juga akan membuat laporan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) berhubung isu ini," katanya.

Sementara itu, ahli perniagaan, Muhamad Hafiz Roslan, 34, berkata, dia hanya mendapat visa pada saat akhir iaitu setengah sejam sebelum berlepas.

"Hampir setiap hari saya bertanyakan tentang visa saya namun jawapan yang saya terima tetap sama iaitu 'perlu tunggu'. Bayangkan perasaan saya apabila semua ahli keluarga saya ada visa, saya seorang saja tak ada.

"Sampai saat akhir sebelum berlepas, baru saya dapat visa, itu pun visa pelancong, bukan visa umrah. Bagi saya, syarikat ini sangat tidak kompeten apabila tidak berjaya menyelesaikan masalah jemaah selain tidak menepati janji.

"Kami berasa tertipu dengan syarikat ini kerana sebelum kami membeli pakej umrah, pelbagai keistimewaan ditawarkan, tetapi apabila duit dah bayar, lain pula yang diberikan. Kami amat kecewa," katanya.