KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur mengesan berlakunya ketirisan barang kawalan di banyak peringkat termasuk pemborong, pembungkus hingga ke peruncit.
Kegiatan itu dikesan menerusi Op Tiris 3.0 yang dilaksanakan pada tahun lalu.
Timbalan Pengarahnya, Nurul Syarina Md Anuar berkata, pihaknya telah melaksanakan 1,701 pemeriksaan premis perniagaan sepanjang tempoh terbabit.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 11 kes melibatkan barang kawalan telah dihasilkan dengan nilai rampasan mencecah RM644,078.30 selain tangkapan 19 individu.
"Barang kawalan terlibat antaranya ialah diesel, petrol, minyak masak, gula pasir kasar, tepung gandum dan tong gas petroleum cecair (LPG)," katanya dalam sidang media Program Advokasi Kita Gempur Tahun 2025 Bersama Rakan Strategik Peringkat Kuala Lumpur di Pejabat KPDN Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, KPDN juga mengesan taktik penyelewengan gas LPG yang turut melibatkan mereka yang mempunyai lesen sah.
Berikutan itu, menurutnya, kerjasama KPDN Kuala Lumpur dengan agensi penguatkuasaan lain akan dapat membentuk kejayaan yang lebih baik.
"Kita akan bekerjasama berkongsi maklumat kerana aktiviti penyelewengan ini tidak boleh dibiarkan hingga diambil kesempatan pihak tidak bertanggungjawab," ujarnya.
Dalam pada itu, Nurul Syarina memaklumkan, pihaknya telah menerima 10,034 aduan menerusi sistem e-Aduan tahun lalu atas pelbagai isu.
Mengulas mengenai Program Advokasi Kita Gempur, jelasnya, selain penglibatan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi, ia turut membabitkan agensi bukan kerajaan seperti industri pembungkus minyak masak, pengusaha stesen minyak, Gerakan Pengguna Siswa serta Skuad Kita Pengguna.
Kita Gempur dilancarkan Perdana Menteri pada 19 Oktober tahun lepas di Kota Kinabalu, Sabah sebagai usaha membanteras dan menangani ketirisan barang kawalan, kenaikan harga serta penipuan dalam talian.