KUALA LUMPUR - Pembelian uniform untuk kegunaan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 tidak menggunakan peruntukan Tentera Darat Maaysia (TDM), sebaliknya ia ditanggung sendiri Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).
Ketua Pengarah JLKN, Mejar Jeneral Datuk Ya'cob Samiran berkata, penjelasan itu perlu bagi merungkai persoalan yang dibangkitkan pihak tertentu berhubung perkara tersebut.
"Uniform loreng TDM yang dibekalkan kepada pelatih PLKN kali ini merupakan pemberian JLKN bukan peruntukan TDM. Maknanya duit JLKN yang diberikan oleh kerajaan.
"Selain itu, uniform yang diberikan kepada pelatih kali ini juga diberikan secara pinjaman. Bukan hak milik seperti sebelum ini.
"Maksudnya apabila lapor diri, mereka akan dapat pinjaman baju untuk latihan tertentu dan selepas tamat latihan, ia akan dipulangkan semula," katanya ketika Sesi Taklimat PLKN 3.0 bersama Editor Kanan Media di Rejimen 515 Askar Wataniah di sini pada Khamis.
Terdahulu, seramai 120 pelatih diterima menyertai PLKN 3.0 yang bermula 12 Januari lalu hingga 25 Februari depan.
Pelatih siri pertama 2025 membabitkan 80 pelatih lelaki dan 40 wanita berumur antara 18 hingga 25 tahun akan menjalani latihan selama 45 hari di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, di sini.
Sepanjang program itu, pelatih akan diberi pendedahan terhadap latihan fizikal, mental dan sivik, dengan modul latihan mengintegrasikan 70 peratus Latihan Asas Ketenteraan dan 30 peratus Komponen Kenegaraan.
Sementara itu, ditanya sama ada latihan selama 45 hari mencukupi untuk pelatih menjalani program berkenaan, Ya'cob menjelaskan tempoh berkenaan dilihat ideal.
"Tempoh enam minggu atau 45 hari itu memadai untuk meliputi semua modul serta latihan yang ditetapkan kepada semua pelatih," katanya.
Beliau dalam masa sama memaklumkan, pelatih yang terpilih menyertai program berkenaan turut mendapat kemudahan elaun pengangkutan pergi dan balik.
"Pelatih-pelatih ini juga turut mendapat perlindungan insurans untuk tempoh 51 hari termasuk ketika perjalanan pergi ke kem latihan dan pulang semula ke kediaman masing-masing," katanya.
PLKN mula diperkenalkan pada Disember 2003 sebagai program yang menyediakan modul latihan selama tiga bulan meliputi modul fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti dengan 85,000 hingga 95,000 pelatih setahun dan purata perbelanjaan RM600 juta setahun.
Program itu kemudian dihentikan selama setahun pada 2015 susulan langkah rasionalisasi perbelanjaan, namun diperkenalkan semula pada 2016 sebagai PLKN 2.0 dengan jumlah pelatih hanya kira-kira 20,000 orang setahun sebelum dimansuhkan pada Ogos 2018.
ends