SHAH ALAM - Pemuda Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengingatkan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) tidak masuk campur urusan berkaitan garis panduan pembabitan orang Islam dalam sebarang upacara termasuk di rumah ibadat bukan Islam.
Pengerusinya, Dr Ainul Asyraf Lokman berkata, tindakan DAPSY membantah cadangan itu dianggap biadab dan tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Menurutnya, garis panduan baharu itu merupakan langkah tepat dalam memastikan umat Islam memahami had dan batas serta menjaga akidah supaya tidak terjerumus dalam perkara yang boleh menggugat keimanan.
"Setiap agama mempunyai batasan dan ajaran yang perlu dihormati.
"Kami tidak pernah meminta orang bukan Islam untuk terlibat dalam amalan agama kami, jadi hormatilah hak kami untuk menjaga akidah dan tradisi kami tanpa campur tangan dari pihak luar," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini DAPSY menentang cadangan garis panduan itu dan Ketua Pemudanya, Woo Kah Leong mencadangkan agar kerajaan membatalkan pelaksanaan dan mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung perkara berkenaan.
Ainul Asyraf berkata, tindakan DAPSY itu seolah cubaan untuk menggugat prinsip umat Islam dan mencampuri urusan pentadbiran Islam di dalam negara.
"Hakikatnya, umat Islam berbeza dengan orang bukan Islam kerana kami memiliki akidah yang perlu dijaga. Ini bukan soal perkauman tetapi soal agama yang wajib dipelihara.
"Kami juga ingin mengingatkan bahawa DAP sudah berkali-kali masuk campur dalam hal ehwal umat Islam di Malaysia.
"Jaga sahaja agama kamu dan jangan sibuk hal orang Islam. Islam mempunyai ulama dan pihak berkuasa agama sendiri yang lebih layak menentukan garis panduan bagi umat ini," jelasnya.
Pada masa sama, beliau menyatakan pendirian Pemuda PUM menyokong penuh cadangan garis panduan yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, kerana ia selari dengan prinsip menjaga maslahah umat Islam.
"Tiada seorang pun yang waras dan berpegang kepada Islam akan menolak usaha baik ini.
"Justeru, kami menggesa DAP untuk tidak cepat melatah dan menghormati urusan pentadbiran Islam yang tidak ada kena-mengena dengan mereka.
"Hormatilah Perlembagaan Malaysia yang telah menetapkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, dan jangan cuba menanam bibit-bibit perpecahan dengan kenyataan yang hanya menimbulkan ketegangan antara kaum," katanya.