MERAK Jalanan skeptikal dengan berita kehilangan pempengaruh Malaysia, Eyka yang ‘ghaib’ selama lebih 24 jam semasa melakukan aktiviti paranormal di dalam sebuah hutan di Bandung, Indonesia baru-baru ini.
Merak Jalanan cuba bersangka baik dan tidak mahu memperlekeh berita kehilangan gadis tersebut.
Pun begitu, selepas menyedari Eyka sebahagian daripada 20 anggota kumpulan yang diketuai pempengaruh Ammar Nazhan, perasaan syak wasangka itu timbul.
Ini kerana, Ammar kerap mencetuskan kontroversi dan sering dilabel sebagai lapar perhatian oleh netizen berdasarkan video-video yang dikongsinya di media sosial.
Bukan Merak Jalanan sahaja yang meragui kebenaran di sebalik insiden kehilangan Eyka, malah beberapa rakan sepejabat juga mempersoal tindakan kumpulan itu masuk ke dalam hutan pagi-pagi buta!
Berdasarkan laporan, Eyka bersama enam lelaki masuk ke dalam hutan sekitar jam 2 pagi dan Ammar mendedahkan kehilangan gadis tersebut di TikTok.
"Dari dulu sengaja mengundang kecaman, dah kena tegur banyak kali masih tak berubah. Bila jadi macam ni, nak simpati pun payah,” ujar rakan Merak Jalanan dengan nada kesal.
Malah, menjengah ke ruangan komen di media sosial, ada sahaja yang mendoakan keburukan kepada Ammar dan tiada siapa percayakan mereka.
Kehilangan Eyka dan kontroversi Ammar mengingatkan Merak Jalanan kepada kisah si penggembala dan biri-biri. Dalam kisah kanak-kanak ini, si penggembala biri-biri inginkan perhatian. Maka diciptanya siri-siri pembohongan agar dia mendapat perhatian.
Pembohongan bagi si penggembala ini suatu permainan yang menyeronokkan. Dia mendapat perhatian sekali pun dimarahi penduduk yang geram dengan tingkah lakunya. Hinggalah suatu ketika, pembohongan itu benar-benar terjadi.
Buat pempengaruh, ambillah iktibar daripada kisah penggembala biri-biri ini.